KUALA LUMPUR – Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyemak semula dakwaan tindakan tatatertib terhadap seorang penjawat awam, Norhisham Manap, yang didakwa mempunyai kaitan dengan laporan rasuah pernah dikemukakannya kepada agensi berkenaan.
Presidennya, Jais Abdul Karim berkata, pihaknya memandang serius aduan itu kerana timbul dakwaan bahawa kes tatatertib yang sebelum ini diselesaikan di peringkat Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dibangkitkan semula selepas Norhisham membuat laporan berkaitan rasuah.
Bagaimanapun, beliau menegaskan dakwaan berkenaan perlu diteliti secara objektif berdasarkan dokumen, rekod keputusan serta keterangan semua pihak sebelum sebarang kesimpulan dibuat.
Menurutnya, MCW menggesa kepimpinan SPRM meneliti semula pengendalian aduan berkenaan, termasuk kemungkinan berlaku tindakan yang boleh memudaratkan pemberi maklumat seperti yang diperuntukkan di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711).
“SPRM juga perlu menjelaskan status perlindungan pemberi maklumat berkenaan, termasuk sama ada perlindungan telah diberikan, ditolak atau dibatalkan mengikut peruntukan undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan.
Jais berkata, penelitian turut perlu dilakukan terhadap keputusan terdahulu berkaitan kes tatatertib itu, termasuk sebarang keputusan tiada tindakan lanjut (NFA), arahan pentadbiran serta alasan yang membawa kepada pembukaan semula kes berkenaan.
Katanya, semakan bebas penting bagi memastikan setiap keputusan dibuat berdasarkan prosedur dan asas yang sah, bukannya dipengaruhi oleh laporan atau pendedahan yang dibuat seseorang penjawat awam kepada pihak berkuasa.
Beliau berkata, sekiranya terdapat bukti bahawa proses tatatertib digunakan sebagai tekanan atau tindakan balas susulan pendedahan berkaitan rasuah, siasatan sewajarnya perlu dijalankan terhadap pihak yang bertanggungjawab.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Dalam pada itu, Jais mengingatkan bahawa keputusan menutup sesuatu kes tidak semestinya menghalang siasatan dibuka semula sekiranya wujud bukti baharu yang sah.
Namun, katanya, ruang untuk menyiasat semula sesuatu kes tidak boleh dijadikan alasan bagi menyalahgunakan proses tatatertib sebagai instrumen pembalasan terhadap individu yang tampil mendedahkan salah laku.
“Perlindungan pemberi maklumat bukan sekadar janji perundangan, sebaliknya menjadi ujian terhadap integriti institusi penguatkuasaan negara.
“Individu yang tampil membantu membongkar rasuah perlu mendapat perlindungan sewajarnya, bukannya berdepan risiko dikenakan tindakan kerana keberanian mereka melaporkan salah laku,” katanya.
Jais berkata, MCW bersedia bekerjasama meneliti dokumen dan keterangan berkaitan bagi memastikan perkara itu dapat diperjelaskan secara adil tanpa menjejaskan hak mana-mana pihak.
Beliau berharap SPRM memberikan perhatian sewajarnya terhadap aduan berkenaan bagi memastikan prinsip ketelusan, keadilan dan perlindungan pemberi maklumat terus dipelihara.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
