Pihak pertikai kod etika wartawan perlu fahami prinsip yang terkandung – Nie Ching

KULAI – Pihak yang mempertikaikan Kod Etika Wartawan Malaysia perlu memahami terlebih dahulu prinsip terkandung dalam kod etika tersebut sebelum membuat dakwaan ia akan menyekat kebebasan media.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, kod etika tersebut telah dikemas kini dan akan menjadi panduan bagi pemegang Kad Perakuan Media (KPM) dalam melaksanakan tugas mereka.

Beliau berkata, kod etika itu mengandungi prinsip kewartawanan yang sangat umum dan menegaskan kewartawanan yang baik dan adil.

“Saya rasa orang yang pertikaikan, sila baca (dahulu) kod ini, ia bukan dokumen baharu, ia telah diwujudkan oleh Institut Akhbar Malaysia (MPI) sejak 1989, tetapi tidak pernah dikemas kini jadi usaha (dilakukan) oleh Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) selepas penglibatan dengan MPI dan badan bukan kerajaan lain.

“Kalau kita baca kod etika ini, anda akan setuju, sebenarnya tiada apa-apa yang saya rasa kontroversi, prinsip sangat umum dan paling penting ia menegaskan kepada laporan yang baik, berita adil, semua yang kita harapkan oleh seseorang wartawan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Sumbangan Back To School di sebuah pusat beli-belah di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan segelintir pihak bahawa Kod Etika Wartawan Malaysia yang dilancarkan baru-baru ini akan menyekat kebebasan media.

Pada 20 Februari lalu, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil melancarkan Kod Etika Wartawan Malaysia versi baharu mengandungi lapan etika utama, antaranya wartawan bertanggungjawab menjadi suara masyarakat majmuk, hendaklah telus dan berintegriti serta berlaku adil dalam menyampaikan informasi.

Etika lain ialah pemberitaan tidak dipengaruhi kepentingan peribadi, kesahihan dan ketetapan maklumat dan wartawan perlu menghormati privasi dan kerahsiaan sumber.

Selain itu, wartawan juga perlu memahami undang-undang, akta dan polisi yang berkaitan dengan ruang lingkup tugas mereka dan memberikan keutamaan untuk meningkatkan kemahiran kewartawanan secara berterusan. – BERNAMA

 

NasionalDaily juga boleh dikongsi di Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Anda berminat hendak post iklan perniagaan atau produk anda bersama NasionalDaily? Hubungi kami di admin@nasionaldaily atau sales@nasionaldaily.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *