KUALA KURAU – Bot Ronda Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kurau menahan sebuah kapal disyaki melakukan operasi mengorek pasir di lokasi atau kawasan tidak dibenarkan, selain beroperasi di luar waktu dibenarkan, pada Rabu.
Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau Komander Maritim Mohd Najhan Azman Hamid berkata, kapal korek itu dikesan pasukan bot peronda Maritim Malaysia ketika melakukan rondaan rutin di perairan Kerian dan Larut Matang.
Menurutnya, ketika dikesan pada jam 12.23 malam, kapal korek terbabit sedang melakukan operasi pengambilan pasir laut di luar waktu ditetapkan.
“Hasil pemeriksaan lanjut, master yang merupakan warganegara Indonesia gagal mengemukakan dokumen kebenaran melakukan aktiviti terbabit serta tiada insurans kapal.
“Jika disabit kesalahan, kapal boleh dikenakan denda bermula RM100,000 hingga RM500,000,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Tambahnya, kapal korek pasir tersebut mempunyai 21 kru yang terdiri daripada 15 warga China, lima warga Indonesia dan seorang warga tempatan.
Kes diserahkan kepada Pegawai Penyiasat di Zon Maritim Kuala Kurau kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Pelantar Benua 1966 dan Ordinan Perkapalan Saudagar (Merchant Shipping Ordinance) MSO 1952.
Kapal berkenaan bersama muatan 1,500 tan metrik pasir telah ditahan bagi tujuan siasatan.
Maritim Malaysia sentiasa berusaha meningkatkan kawalan keselamatan dan rondaan operasi penguatkuasaan undang-undang di Zon Maritim Malaysia bagi memastikan kapal dan bot yang berada di perairan negara terjamin dan mematuhi undang-undang.
Sekiranya terdapat sebarang maklumat dan aduan berkaitan jenayah dan kesalahan maritim, orang ramai boleh menghubungi talian hotline 05- 7279919 atau MERS 999 yang beroperasi secara 24 jam.
NasionalDaily juga boleh dikongsi di Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Anda berminat hendak post iklan perniagaan atau produk anda bersama NasionalDaily? Hubungi kami di admin@nasionaldaily atau sales@nasionaldaily.com