JOHOR BAHRU – Piala Ketua Polis Negara (KPN) 2024 bagi acara tarik tali lelaki dirangkul pasukan 69 Komando selepas menewaskan Briged Sabah Pasukan Gerakan Am (PGA) di Stadium Ragbi Mount Austin, dekat sini.
Sementara kategori wanita pula menyaksikan dominasi Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) setelah mengatasi tujuh pasukan lain.
Kontinjen Polis Kuala Lumpur (IPK KL) sekadar berpuas hati naib juara bagi kategori wanita dan tempat ketiga acara lelaki, sementara IPK Perak pula ditempat ketiga bagi kategori wanita.
Manakala kategori “plate”, untuk pasukan lelaki diungguli IPK Johor selepas menidakkan kemaraan pasukan dari Kontinjen Perak dan Briged Sarawak PGA yang masing-masing terpaksa akur di tempat kedua serta ketiga.
Hadir menyaksikan acara akhir kejohanan, Ketua Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram, Urus Setia KPN Bukit Aman selaku Pengelola Sukan Tarik Tali Polis Diraja Malaysia (PDRM), DCP Datuk Mohammed Hasbullah Ali; Komander Briged Sabah PGA, SAC Datuk Abdul Rani Alias; dan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, ACP Raub Selamat.
Sementara itu, Setiausaha Majlis Sukan PDRM, Superintendan Muhammad Najib Hamzah berkata, sebanyak 25 pasukan mengambil bahagian dalam kejohanan kali ini.
“Daripada jumlah itu, 17 pasukan lelaki mengambil bahagian dan selebihnya kategori wanita.
“Acara penyampaian piala kepada juara bagi kedua-dua acara dijangka disempurnakan pada majlis penutup oleh pucuk pimpinan PDRM,” ujar beliau. – NasionalDaily
Kredit jurugambar: Sub Inspektor Zaiddin Dahalan, Koperal Mohamad Shazril Abd Rashid, Lans Koperal Muhammad Khairul Hilmi Zaini dan Konstabel Muhammad Azri Mohd Sabri.
NasionalDaily juga boleh dikongsi di Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Anda berminat hendak post iklan perniagaan atau produk anda bersama NasionalDaily? Hubungi kami di admin@nasionaldaily atau sales@nasionaldaily.com