BERITA UTAMA

PH sedia hadapi PRK di enam Parlimen – Faiz

SUNGAI BESAR – Pakatan Harapan (PH) bersedia pada bila-bila masa untuk menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) di enam kawasan Parlimen yang ketika ini disandang Ahli Parlimen daripada parti Bersatu yang menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Setiausaha Agung Amanah, Faiz Fadzil berkata, PH bersama Barisan Nasional (BN) berupaya memenangi dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan satu Parlimen pada PRK yang lalu.

“Kita menunjukkan prestasi baik dengan memenangi kerusi Parlimen Pulai, DUN Simpang Jeram dan Pelangai menerusi Kerajaan Perpaduan.

“Ini sekali gus memberi lonjakan semangat dan kekuatan kepada kami untuk berdepan PRK dan sememangnya PH sudah bersedia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan program Madani Anak Nelayan Kembali ke Sekolah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM)-BHP dan majlis perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Sungai Besar di Dewan Bagan Sungai Burong, Jalan Bagan Sungai Burong, di sini.

Pada masa sama, Faiz menegaskan, PH akan bekerjasama dengan BN untuk memastikan calon yang akan bertanding nanti memenangi enam kerusi Parlimen itu.

Terdahulu, media melaporkan Bersatu meluluskan pindaan atas Perkara 10 Perlembagaannya yang akan melucutkan serta-merta keahlian wakil rakyatnya jika menyatakan sokongan kepada mana-mana pihak yang bertentangan dengan arahan atau pendirian parti.

Enam Ahli Parlimennnya, Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), dan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan) mengisytihar menyokong Perdana Menteri dan Kerajaan Perpaduan sebelum ini. – NasionalDaily

 

NasionalDaily juga boleh dikongsi di Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Anda berminat hendak post iklan perniagaan atau produk anda bersama NasionalDaily? Hubungi kami di admin@nasionaldaily atau sales@nasionaldaily.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *