MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa hari ini melancarkan pelekat korporat yang baharu untuk semua kenderaan yang terlibat dengan perkhidmatan bas sekolah percuma, MySchoolBus @ Wilayah dalam usaha mempromosikan perkhidmatan berkenaan kepada warga kota.
Pelekat korporat baharu itu tampil dengan reka bentuk lebih elegan, menarik serta berkualiti tinggi dan memberi gambaran Wilayah Persekutuan sebagai sebuah negeri harmoni, berdaya saing dan bertaraf dunia.
Program ini pada asalnya dikenali sebagai Program Bantuan Bas Sekolah Percuma dan telah dijenamakan semula pada tahun 2021 dan kini dikenali sebagai MySchoolBus @ Wilayah.
Program ini menyediakan perkhidmatan bas sekolah percuma kepada semua pelajar yang tinggal di 64 kawasan Perumahan Awam (PA), Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan 127 kawasan Perumahan Kos Rendah (KR) serta sembilan Kawasan Perumahan Swasta Kos Rendah Terpilih (KSR) yang memberi manfaat kepada hampir 12,000 pelajar setiap tahun.
Program ini juga merangkumi pelajar dari golongan Orang Kurang Upaya (OKU) di sekolah pendidikan khas seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Pendaftaran program ini dibuka kepada semua pelajar setiap tahun melibatkan golongan sasar B40 dan M40 (M1) termasuk kategori asnaf dengan pendapatan isi rumah tidak melebihi RM6,000 sebulan.
Diharapkan dengan inisiatif yang telah dijalankan ini, dapat membantu meringankan beban golongan sasar dan DBKL akan terus komited untuk mengenal pasti keperluan bagi membantu warga kota dalam mendepani isu kebajikan komuniti di Kuala Lumpur.
Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan, Datuk Indera Noridah Abdul Rahim dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Sr. Kamarulzaman Mat Salleh. – NasionalDaily
NasionalDaily juga boleh dikongsi di Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Anda berminat hendak post iklan perniagaan atau produk anda bersama NasionalDaily? Hubungi kami di admin@nasionaldaily atau sales@nasionaldaily.com