BERITA UTAMA

Temasya Sukan Piala KPN, Kontinjen Bukit Aman ungguli acara lumba basikal

JOHOR BAHRU – Pasukan lumba basikal Kontinjen Bukit Aman muncul juara keseluruhan bagi acara berbasikal dalam Temasya Sukan Piala Ketua Polis Negara (KPN) Tahun 2024 yang berlangsung dekat Sunway Big Box, Sunway City, Iskandar Puteri, semalam.

Kontinjen Bukit Aman berjaya memungut 100 mata, diikuti naib johan Kontinjen Johor dengan perolehan mata sebanyak 73, manakala Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur memenangi tempat ketiga dengan 46 mata.

Sebanyak 15 pasukan lumba basikal dari seluruh kontinjen dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyertai kejohanan kali ini yang melibatkan 592 peserta.

Beberapa acara berbasikal dalam pelbagai kategori telah dipertandingkan sejak semalam melibatkan enam kategori iaitu Lebuhraya Individu dan Berpasukan, selain tujuh kategori Ujian Masa serta Kriterium.

Piala kemenangan telah disampaikan oleh Ketua Polis Johor, CP M. Kumar S. Muthuvelu dengan diiringi timbalannya, DCP Afandi Senin dan Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan/Operasi) Kontinjen Johor merangkap Pengelola Berbasikal PDRM, ACP Mohd Zairi Badderul @ Badrul dalam acara penutup yang berlangsung penuh gilang-gemilang di lokasi yang sama acara dijalankan.

Hadir sama, barisan Ketua Jabatan Kontinjen Johor, Ketua Polis Daerah (KPD) Batu Pahat, ACP Ismail Dollah, KPD Iskandar Puteri, ACP Rahmat Ariffin dan Ketua Pegawai Eksekutif Sunway City, Encik Gerard Soosay. – NasionalDaily

 

NasionalDaily juga boleh dikongsi di Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Anda berminat hendak post iklan perniagaan atau produk anda bersama NasionalDaily? Hubungi kami di admin@nasionaldaily atau sales@nasionaldaily.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *