BERITA UTAMA

Roboh Highland Towers, selesai masalah penduduk – ADUN

HULU KELANG – Perobohan dua blok Highland Towers yang tumbang pada 1993 dijangka mampu menyelesaikan aduan berbangkit oleh masyarakat yang tinggal di sekitar bangunan terbiar itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa, Mohd Kamri Kamaruddin berkata, Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) telah menerima banyak aduan membabitkan kebimbangan isu keselamatan, kacau ganggu serta aktiviti tidak bermoral di kawasan itu.

Menurutnya, susulan itu pada Sabtu, satu lawatan bersama Yang Dipertua MPAJ, Dr Ani Ahmad serta agensi terlibat telah diadakan bagi mencari solusi kepada aduan tersebut.

“Isu ini masih dalam status perbincangan. Keberangkalian paling utama ialah bangunan terbiar ini dirobohkan kerana tidak melihat pilihan lain (dalam menyelesaikan isu tersebut).

“Objektif utama bagi menyelesaikan aduan dan selepas dirobohkan, barulah fikirkan apa yang akan dibuat di kawasan tersebut,” katanya dipetik Sinar Harian.

Dalam tragedi runtuhan 11 Disember 1993, satu daripada tiga blok kondominium Highland Towers telah runtuh sehingga meragut 48 nyawa.

Sejak itu, tapak berkenaan terbiar dan menjadi sarang penagihan dadah dan masalah sosial yang mengundang rasa kurang senang penduduk setempat.

Susulan itu, Datuk Zuraida Kamaruddin semasa memegang jawatan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada 2019 memberitahu, bangunan terbiar itu akan dirobohkan.

Zuraida mencadangkan tapak itu dibangunkan semula sebagai lokasi taman rekreasi memandangkan struktur tanah di kawasan terbabit tidak sesuai untuk pembinaan perumahan.

Sementara itu, Dr. Ani menerusi mesyuarat penuh bulanan MPAJ yang diadakan baru-baru ini memaklumkan, pihak berkuasa tempatan itu akan mengeluarkan notis kepada pemilik hartanah terbabit untuk merobohkan struktur tersebut.

Dr. Ani berkata, notis itu akan dihantar kepada Highland Properties Sdn Bhd sebagai pemilik tapak dan Jabatan Insolvensi Malaysia sebagai penyelesai syarikat.

Katanya, sekiranya syarikat gagal mengambil tindakan (merobohkan), MPAJ akan memulakan proses mendapatkan perintah mahkamah untuk menjalankan perobohan.

Ujarnya, perobohan dijangka selepas Ogos jika tiada sebarang bantahan di mahkamah dan kos perobohan itu anggarkan antara RM6 juta ke RM7 juta.

NasionalDaily juga boleh dikongsi di Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *