Siri Kedua: Kalau Aku KP JKom

Dari Meja Editorial

KALAU aku dilantik sebagai Ketua Pengarah JKom dalam keadaan kerajaan sudah berada di penghujung penggal pentadbiran dan pembubaran Dewan Rakyat hanya menunggu masa, aku sedar tugas itu bukan mudah.

Masa yang ada sangat singkat. Antara pembubaran Parlimen, penamaan calon dan hari mengundi, tempohnya tidak panjang. Dalam politik, tempoh beberapa minggu itu boleh menentukan hidup mati sesebuah kerajaan.

Tetapi, aku melihat cabaran terbesar bukanlah faktor masa. Cabaran terbesar ialah hakikat ramai rakyat hari ini tidak lagi percaya kepada apa yang kerajaan mahu sampaikan.

Bukan kerana semua dasar kerajaan gagal. Bukan kerana semua menteri tidak bekerja, tetapi kerana kerajaan gagal menjelaskan kepada rakyat apa yang sedang dilakukan dan mengapa sesuatu keputusan dibuat.

Iklan

Lebih malang, ada pihak yang diberikan tanggungjawab untuk menjelaskan dasar kerajaan, tetapi lebih sibuk mencipta kontroversi daripada menyampaikan penerangan.

Sepatutnya rakyat bercakap mengenai bantuan kerajaan, pelaburan yang masuk, peluang pekerjaan yang diwujudkan, projek pembangunan yang sedang berjalan dan pelbagai usaha memperbaiki ekonomi negara. Sebaliknya rakyat bercakap mengenai Ketua Pengarah JKom.

Ini sebenarnya satu kegagalan komunikasi yang sangat besar. Dalam dunia komunikasi politik, apabila jurucakap lebih popular daripada mesej yang dibawa, itu petanda ada sesuatu yang tidak kena.

Apabila rakyat lebih mengenali kontroversi pegawai komunikasi berbanding dasar kerajaan, maka fungsi komunikasi itu telah tersasar jauh daripada matlamat asalnya.

Sebab itu jika aku menjadi KP JKom, perkara pertama yang aku buat ialah mengingatkan diri sendiri bahawa aku bukan calon pilihan raya. Aku bukan menteri. Aku bukan pemimpin parti. Aku hanyalah penjawat awam yang diberikan amanah untuk menjelaskan dasar kerajaan kepada rakyat.

Aku tidak perlukan peminat. Aku tidak perlukan pengikut fanatik. Aku tidak perlukan tajuk utama akhbar. Aku hanya perlukan rakyat memahami apa yang kerajaan sedang lakukan.

Malangnya, hari ini kita melihat seolah ada pihak yang menganggap jawatan komunikasi kerajaan sebagai platform membina jenama peribadi. Setiap hari mahu muncul. Setiap hari mahu menjadi perhatian. Setiap hari mahu menunjukkan dirinya lebih hebat daripada pihak lain.

Akhirnya apa yang berlaku? Kerajaan terima tempias. Rakyat semakin menyampah, dan pembangkang tersenyum kerana tidak perlu bekerja keras menyerang kerajaan kerana ada pihak dalam kerajaan sendiri sediakan peluru secara percuma.

Kalau aku KP JKom, aku akan buat perkara yang mungkin dianggap kuno oleh sesetengah orang. Aku akan arahkan seluruh jentera JKom turun padang.

Ya, turun padang. Bukan duduk dalam bilik berhawa dingin menunggu isu viral. Bukan sibuk menghasilkan kandungan media sosial yang akhirnya hanya ditonton oleh penyokong sendiri. Bukan berlumba-lumba menjadi selebriti politik.

Turun padang bertemu rakyat. Aku mahu setiap pegawai JKom berada di pasar malam, warung kopi, masjid, dewan orang ramai, pusat komuniti, kawasan FELDA, kampung tradisional, taman perumahan dan kawasan bandar.

Aku mahu mereka mendengar terlebih dahulu sebelum bercakap. Hari ini ramai pegawai kerajaan suka bercakap, tetapi malas mendengar.

Sedangkan kemarahan rakyat bukan boleh difahami melalui jumlah tanda suka di Facebook atau jumlah tontonan di TikTok.

Kemarahan rakyat boleh difahami apabila kita duduk semeja dengan mereka dan mendengar sendiri rungutan mereka.

Apabila rakyat mengadu mengenai kos sara hidup, jangan terus beri statistik. Apabila rakyat mengadu mengenai harga barang, jangan terus keluarkan infografik. Apabila rakyat mengadu mengenai kesukaran hidup, jangan terus tuduh mereka termakan propaganda pembangkang.

Dengar dahulu. Fahami dahulu. Kemudian terangkan dasar kerajaan dengan bahasa yang mudah. Bukan bahasa pegawai. Bukan bahasa laporan. Bukan bahasa seminar. Tetapi bahasa rakyat.

Masalah terbesar komunikasi kerajaan hari ini ialah kerajaan terlalu banyak bercakap dalam bahasa yang hanya difahami oleh kerajaan sendiri.

Rakyat bercakap tentang harga ayam. Kerajaan menjawab tentang indikator ekonomi makro.

Rakyat bercakap tentang bil elektrik. Kerajaan menjawab tentang trajektori fiskal.

Rakyat bercakap tentang kehidupan seharian. Kerajaan pula bercakap seolah sedang membentangkan kertas kerja di universiti. Mana mungkin mesej itu sampai?

Kalau aku KP JKom, aku mahu setiap penerangan kerajaan boleh difahami oleh peniaga nasi lemak, penoreh getah, nelayan, penghantar makanan, penjawat awam dan pekerja kilang. Kalau mereka tidak faham, itu bermakna komunikasi kita gagal.

Aku juga akan mengurangkan ketagihan terhadap media sosial. Walaupun aku tidak nafikan ianya penting. Tetapi, media sosial bukan dunia sebenar.

Kadang-kadang kerajaan terlalu sibuk menjawab lima puluh akaun media sosial yang bising sehingga terlupa ada jutaan rakyat yang tidak peduli pun tentang pergaduhan politik di internet.

Hakikatnya, majoriti rakyat mahu tahu satu perkara sahaja. Adakah hidup mereka semakin baik atau semakin susah?

Jika kerajaan boleh menjawab persoalan itu dengan baik dan jujur, sokongan akan datang semula.

Aku percaya kerajaan hari ini masih mempunyai banyak perkara yang boleh dijual kepada rakyat. Pelaburan asing meningkat. Pelbagai projek pembangunan berjalan. Kadar pengangguran lebih terkawal berbanding beberapa tahun lalu. Banyak program bantuan masih diteruskan.

Masalahnya bukan tiada bahan. Masalahnya bahan itu tidak sampai. Atau lebih tepat, tenggelam dalam lautan kontroversi yang tidak perlu.

Sebab itu aku yakin, walaupun masa yang tinggal sebelum pilihan raya sangat singkat, belum terlambat untuk memulihkan keyakinan rakyat.

Tetapi syaratnya satu. JKom mesti kembali kepada fungsi asalnya. JKom bukan unit propaganda individu. JKom bukan pasukan sorak mana-mana tokoh politik.

JKom juga bukan platform membina pengaruh peribadi. JKom adalah jambatan antara kerajaan dan rakyat. Apabila jambatan itu digunakan untuk tujuan lain, rakyat akan semakin jauh daripada kerajaan.

Tetapi, apabila jambatan itu berfungsi seperti sepatutnya, rakyat akan mula memahami usaha kerajaan, dan kerajaan pula akan lebih memahami denyut nadi rakyat.

Kalau aku KP JKom, mungkin aku tidak popular. Mungkin nama aku tidak menjadi tajuk utama berita. Mungkin aku tidak mempunyai ribuan penyokong yang mempertahankan setiap kenyataan aku di media sosial.

Tetapi, jika sokongan rakyat kepada kerajaan meningkat, jika kemarahan rakyat dapat dikurangkan, dan jika kerajaan kembali mendapat kepercayaan rakyat, itu sudah lebih daripada cukup.

Kerana tugas Ketua Pengarah JKom bukan untuk menjadikan dirinya terkenal. Tugas Ketua Pengarah JKom adalah memastikan kerajaan tidak kehilangan rakyat.

Satu lagi kelebihan apabila seluruh tenaga dan sumber JKom digunakan untuk turun padang memberi penerangan kepada rakyat ialah persepsi negatif terhadap jabatan itu sendiri dapat dikurangkan.

Hari ini, antara kritikan yang sering kedengaran ialah dakwaan wang rakyat digunakan untuk tujuan propaganda politik atau membina imej individu tertentu.

Apabila rakyat melihat pegawai-pegawai JKom benar-benar berada di lapangan, bertemu masyarakat, mengadakan sesi penerangan, mendengar masalah dan menyampaikan maklumat dasar kerajaan secara terus, mereka akan nampak ke mana perginya peruntukan yang dibelanjakan.

Barulah rakyat tidak mengungkit aku menyalahgunakan duit rakyat untuk kepentingan peribadi atau politik. Barulah rakyat nampak setiap sen yang dibelanjakan digunakan untuk melaksanakan fungsi sebenar jabatan.

Aku tidak perlukan pasukan yang bekerja siang malam untuk menaikkan nama aku. Aku perlukan pasukan yang bekerja siang malam untuk mengembalikan keyakinan rakyat kepada kerajaan.

Kalau rakyat melihat hasil kerja JKom melalui program penerangan yang berkesan, sesi dialog yang terbuka dan kehadiran pegawai kerajaan yang konsisten di lapangan, mereka akan menilai sendiri sama ada wang yang dibelanjakan itu berbaloi atau tidak.

Sebaliknya, jika yang lebih menonjol ialah publisiti individu, kenyataan kontroversi dan perang media sosial yang tidak berkesudahan, jangan salahkan rakyat jika mereka mula bertanya apa sebenarnya fungsi JKom dan mengapa duit pembayar cukai digunakan untuk tujuan sedemikian.

Sebab itu aku lebih rela rakyat tidak kenal siapa Ketua Pengarah JKom, asalkan mereka tahu apa yang kerajaan sedang lakukan untuk membantu mereka. Aku lebih rela nama aku tenggelam, asalkan mesej kerajaan sampai.

Dalam dunia komunikasi kerajaan, kejayaan sebenar bukan apabila pegawainya menjadi terkenal, tetapi apabila rakyat mendapat maklumat yang tepat dan memahami dasar yang dilaksanakan.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

One thought on “Siri Kedua: Kalau Aku KP JKom

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *