SUNGAI BESAR – Ahli Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Sungai Besar, Sekinchan disarankan aktif dalam industri perikanan sebagai sebuah entiti perniagaan dengan memperbanyakkan projek ekonomi.
Ini, kata Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Faiz Fadzil, selaras dengan dasar Satu Persatuan Satu Produk (1P1P).
Selain itu, katanya, pentadbiran tatakelola yang baik dan disiplin berteraskan prinsip integriti harus diberi penekanan supaya keuntungan PNK bertambah, sekali gus menghasilkan dividen dan bantuan kebajikan yang lebih kepada ahli.
“Penglibatan generasi muda sebagai komposisi bersama dalam Lembaga Pengarah amat digalakkan bagi memantap dan memperkasakan PNK di seluruh negara,” katanya.
Beliau berkata demikian merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan ke-50 PNK Sungai Besar di Sekinchan, Selangor hari ini.
Menurut Faiz, PNK Sungai Besar kini mempunyai 1,225 ahli melibatkan 586 penerima elaun sara hidup dan 866 nelayan menerima subsidi minyak.
Di samping itu, katanya lagi, terdapat juga 230 vesel Zon C yang menunjukkan kekuatan aktiviti pendaratan ikan yang tinggi di Sungai Besar, Sekinchan.
Dalam pada itu, beliau turut menyampaikan sumbangan dana RM15,000 kepada anak nelayan menerusi Program Madani Anak Nelayan Kembali ke Sekolah LKIM-BHP.
“Kolaborasi ini penting untuk LKIM melahirkan generasi nelayan berilmu dan berkemahiran tinggi dalam memodenkan mereka untuk memajukan industri perikanan.
“Ia juga menjadikan kejayaan Bousted yang dimiliki persatuan angkatan tentera sebagai inspirasi nelayan memajukan PNK.
“Kemajuan sektor perikanan adalah kunci kejayaan usaha meningkatkan taraf sosio-ekonomi nelayan,” katanya sambila mengucapkan terima kasih kepada BHP atas keprihatinannya kepada golongan marhaen. – NasionalDaily
NasionalDaily juga boleh dikongsi di Telegram: https://t.me/nasionaldaily