BERITA UTAMA

Bumiputera hanya layak bergaji RM3,000 sahaja?

DALAM Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) baru-baru ini (29 Feb-2 Mac 2024), perkara dibangkitkan adalah mengenai isu gaji tidak cukup serta pekerjaan buruh yang telah digantikan dengan warga asing.

Bagi saya, pekerjaan buruh di Malaysia ini memang sepatutnya digantikan dengan warga asing. Malaysia tidaklah sebesar mana dan tidak padat pun dengan penduduk berjumlah 30 juta. Kalau di masa hadapan pula, mungkin banyak pekerjaan ini bakal digantikan dengan robotik dan automation.

Namun, solusi diberikan semasa KEB2024 adalah untuk memfokuskan anak bumiputera kepada pekerjaan buruh dan “upskill” melalui TVET dengan gaji berpatutan iaitu RM3,000 sebulan. Selain itu, ada juga disebutkan mengenai fasiliti EPF dan PERKESO untuk ekonomi gig.

Persoalan saya, kenapa fokuskan kepada pekerjaan seperti ini? Kenapa kerajaan tidak fokuskan kepada pendidikan untuk anak muda bumiputera menjadi peniaga serta mempelajari ilmu baru seperti IoT, Artificial Intelligent, Automation dan sebagainya?

Dan, jika pekerjaan profesional seperti akauntan, peguam, jurutera, doktor dan lain-lain boleh dijadikan “menu cita-cita”, kenapa tidak setiap sektor ekonomi juga dijadikan menu agar anak muda dapat memilih ruang dan peluang untuk menjadi peniaga di sektor mana?

Bukankah ini yang menjadi landasan masa depan anak muda? Bukankah ini yang akan membesarkan kek ekonomi negara?

Sebab itu saya tubuhkan BigBoys Academy untuk menyampaikan pendidikan perniagaan serta ilmu baru dunia digital kepada anak muda. Dan yang paling utama dalam pendidikan ini adalah menjual kerana belajar perniagaan ini tidak boleh secara teori sahaja. Pendidikan ini perlu berasaskan “action-learning”.

Bayangkan bagaimana cara untuk anak muda nak berjaya dalam perniagaan kalau mereka tak pernah menjual? Sedangkan melalui aktiviti menjual, mereka akan menambah kenalan serta rangkaian, mereka akan melalui pengalaman “di-reject”, dan juga turut menambah baik “soft-skill” diri.

 

Sepatutnya kerajaan memberi fasiliti, galakkan dan sokongan supaya anak muda mula menjual. Contohnya seperti membangunkan institusi serta sistem pendidikan berasaskan “action-learning” dalam perniagaan, atau boleh juga menubuhkan agensi penyelidikan dan penerangan berkolaborasi dengan pemain industri mengenai peluang perniagaan yang patut diceburi anak muda, pendedahan cabang perniagaan tersebut serta idea dan cara untuk melepasi “barriers of entry” kepada sesetengah perniagaan.

Sebagai contoh, bagaimana kerajaan dapat membantu seorang anak muda bercita-cita untuk mengendalikan sebuah bank? Atau mengendalikan syarikat pengurusan dana seperti Blackrock atau Vanguard?

Sebab itu, melalui fasiliti ini kami juga akan dibimbing oleh pemain industri lebih berpengalaman serta kami juga bakal dimaklumkan mengenai kepentingan profesional seperti peguam, akauntan, konsultan cukai dan lain lain lagi.

Kerana tanpa fasiliti seperti ini, apakah pandangan anak muda hari ini?

Ohh, mereka naik pangkat gaji besar kerana “cable”. Ohh, mereka dapat bisnes jadi kaya kerana “cable”.

Jadi, ke mana sebenarnya tempat yang patut dituju bagi anak muda yang tiada “cable”? Jika betul kenyataan di atas, bermakna kerajaan sendiri perlu menjadi “cable” kami.

Bagi saya, membesarkan kek ekonomi negara bermula dengan mengajak anak muda membesarkan cita-cita dan pastikan mereka mendapat pendedahan mengenai kaedah atau jalan untuk mencapai cita-cita tersebut.

Dan kek ini juga akan membesar jika kita mampu untuk mengaut kuasa beli yang ada di luar negara dengan kesedaran serta kompetensi yang terlatih dalam setiap diri anak muda. – NasionalDaily

Penulis, Rizwan Ramalan adalah penganalis ekonomi digital

NasionalDaily juga boleh dikongsi di Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *