RAFAH – Kementerian Kesihatan Gaza berkata, sekurang-kurangnya 25 kanak-kanak meninggal dunia akibat kekurangan zat makanan atau dehidrasi di hospital Kamal Adwan di Beit Lahiya, utara Gaza, wilayah di mana kekurangan makanan paling ketara.
Bagaimanapun, jurucakap Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Christian Lindmeier, berkata beliau yakin angka sebenar adalah jauh lebih tingggi.
“Bekalan bantuan kemanusiaan termasuk makanan, tidak dapat memasuki Gaza sejak pertengahan Januari dan bekalan makanan sedia ada di wilayah yang bergolak sudah lama habis.
“Menjadi satu kesalahan besar jika masyarakat antarabangsa terus berdiam diri membiarkan anak-anak ini menemui ajal,” katanya.
Dr Ahmad Salem, dari unit rawatan rapi hospital kamal Adwan berkata, salah satu faktor kematian kanak-kanak yang tinggi di sana ialah ibu yang baru lahir mengalami kekurangan zat makanan.
“Justeru, mereka tidak dapat menyusukan anak manakala kami tidak mempunyai susu formula.
“Ini menyebabkan banyak kematian kanak-kanak di unit rawatan rapi (ICU), malah saya difahamkan, di taska juga terdapat banyak kematian,” katanya.
Dua kanak-kanak Palestin dengan mata cengkung dan muka kurus, seorang memakai kardigan kuning dan seorang lagi berbaju jalur, berbaring di atas katil di klinik Gaza, dengan tulang kaki menonjol dari lampin yang kelihatan terlalu besar untuk mereka.
Kanak-kanak Palestin yang kekurangan zat menerima rawatan di sebuah hospital di selatan Semenanjung Gaza, di mana penduduk hampir kebuluran. – Foto REUTERS
Adegan menyayat hati itu dirakam pada Isnin di pusat kesihatan Al-Awda di Rafah, selatan Semenanjung Gaza.
Jururawat, Diaa Al-Shaer berkata, kanak-kanak yang mengalami kekurangan zat makanan dan pelbagai masalah kesihatan datang dalam jumlah yang tidak pernah berlaku sebelum ini.
“Sejak kebelakangan ini, kami menerima sebilangan besar pesakit yang mengalami kekurangan zat makanan,” katanya.
Hampir lima bulan selepas serangan udara dan darat Israel ke atas Semenanjung Gaza dan mengakibatkan perpindahan besar-besaran, masalah kekurangan makanan yang teruk telah membawa kepada apa yang disifatkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai krisis kebuluran.
Bantuan makanan ke seluruh Gaza semakin berkurangan daripada apa yang diperlukan, dan keadaan itu lebih teruk di utara kerana satu-satunya lintasan di mana Israel benarkan trak melaluinya adalah di selatan.
Malah, kata Pengarah wilayah Sementara Tabung Kanak-Kanak PBB (UNICEF) untuk Timur Tengah dan Afrika Utara, Adele Khodr, berkata beberapa trak bantuan dipaksa berhenti oleh orang ramai yang terdesak sebelum ia sampai ke utara.
“Perasaan tidak berdaya dan putus asa dalam kalangan ibu bapa dan doktor apabila menyedari bahawa bantuan menyelamatkan nyawa, hanya beberapa kilometer jauh tidak dapat dicapai, pasti tidak dapat ditanggung,” katanya.
Dalam laporan keadaan terkini bertarikh 1 Mac, agensi PBB untuk pelarian Palestin, UNRWA, berkata purata kira-kira sebanyak 97 trak sehari memasuki Gaza pada Februari, turun daripada kira-kira 150 trak pada Januari, jauh lebih rendah daripada 500 trak yang diperlukan setiap hari. – REUTERS
NasionalDaily juga boleh dikongsi di Telegram: https://t.me/nasionaldaily