BERITA UTAMA

Kerajaan belum bercadang perkenal semula sistem GST – Amir Hamzah

KUALA LUMPUR – Selepas menaikkan kadar SST dari enam kepada lapan peratus berkuatkuasa 1 Mac lalu, kerajaan hari ini memaklumkan belum ada cadangan untuk memperkenalkan semula sistem GST.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan yang menyifatkan penggunaan sistem GST lebih luas dan bukan masa sesuai dilaksanakan semula.

Kata beliau, kerajaan mengambil kira kesan terhadap rakyat terutama yang berpendapatan rendah menghadapi cabaran kos sara hidup ketika ini.

“Walaupun kadar inflasi 2023 secara purata adalah 2.5 peratus, tetapi bagi makanan dan minuman hampir lima peratus.

“Kategori ini adalah yang lebih dirasai oleh rakyat jelata dan antara faktor dikekalkan kadar cukai perkhidmatan kepada enam peratus untuk makanan dan minuman.

“Kerajaan akan terus mengutamakan untuk menambah baik kadar cukai sedia ada dan memperkenalkan percukaian yang tidak memberi kesan kepada golongan rentan sebelum menilai keperluan untuk memperkenalkan cukai penggunaan baharu seperti cukai barangan dan perkhidmatan (GST),” katanya.

Amir Hamzah berkata demikian menjawab soalan Rodziah Ismail (PH- Ampang) yang meminta Menteri Kewangan menyatakan iltizam dan kesediaan kerajaan Persekutuan untuk memperkenalkan lebih banyak alternatif percukaian progresif seperti Cukai Harta Pusaka dan Cukai Keuntungan Modal terlebih dahulu sebelum melaksanakan semula GST di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Menurut Amir Hamzah, kerajaan telah mengambil pendekatan berperingkat dengan meluaskan asas cukai kepada mereka yang mempunyai lebih kemampuan terlebih dahulu.

Tambah beliau lagi, walaupun kadar cukai perkhidmatan telah meningkat dari 6 ke 8 peratus, cukai perkhidmatan elektrik hanya dikenakan atas pengguna domestik melebihi 600 kilowatt sejam iaitu golongan 15 peratus pengguna terbesar.

“Untuk baki 85 peratus pengguna itu pula, tiada cukai perkhidmatan dikenakan atas bil elektrik. Di samping itu bil air dikecualikan daripada cukai perkhidmatan,” kata beliau lagi. – NasionalDaily

NasionalDaily juga boleh dikongsi di Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *