KUALA LUMPUR – Pas menegur tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat kenyataan media mendahului daripada siasatan satu-satu kes selesai.
Timbalan Presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kerajaan harus mempunyai mekanisme untuk menghalang pihak yang sedang menghadapi siasatan SPRM atau dibicarakan di mahkamah dari menjadi mangsa dihukum oleh media.
Bahkan, katanya, mutakhir ini berlaku keadaan di mana aduan dibuat kepada SPRM yang belumpun dibicarakan, tetapi Ketua Pesuruhjayanya telah mengeluarkan kenyataan.
“Bicara pun belum lagi (siasat atau bicara), kita dapati mangsa sudah dihukum oleh SPRM lebih awal oleh media.
“Ini satu perkara yang tidak sepatutnya berlaku. Bila ada aduan, kita harus tunggu perbicaraan dan sebagainya, barulah dibuat pengadilan,” ujarnya mencelah ketika sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan yang dikemukakan Ramkarpal Singh Karpal Singh (PH-Bukit Gelugor) di Dewan Rakyat, Parlimen, di sini hari ini.
Dalam soalan asal Ramkarpal kepada Perdana Menteri meminta menyatakan sama ada kerajaan berhasrat untuk menambah baik Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 bagi menggalakkan lebih ramai orang melaporkan kegiatan rasuah.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M Kulasegaran V Murugeson yang menjawab, menyifatkan soalan Tuan Ibrahim sebagai satu masalah defisit kepercayaan.
“Di antara masalah bila dilaporkan kepada agensi dia terbongkar itu menjadi satu masalah yang besar. Tapi saya rasa dengan perundangan yang akan diubahsuai tak lama lagi ini semestinya ia akan mengambil kira perkara tersebut.
“Tindakan lanjut dia akan ambil supaya exposure-exposure (pendedahan) sedemikian tidak berlaku,” ujar beliau yang juga Ahli Parlimen Ipoh Barat. – NasionalDaily