ALOR SETAR – Kerajaan Kedah perlu menyemak semula struktur Mahkamah Syariah seperti sistem hierarkinya supaya memberi lebih ruang keadilan kepada pihak terbabit.
Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah bertitah, kerajaan negeri juga perlu menambah baik kedudukan jawatan Hakim Mahkamah Syariah supaya setanding dengan sistem yang diguna pakai di Mahkamah Sivil.
Baginda juga bertitah, mahukan Mahkamah Syariah menjadi institusi penting sesuai dengan kedudukan Islam di negeri itu.
“Selain aspek pembangunan dan fiskal, beta ingin memberi penekanan kepada aspek kehakiman negeri iaitu institusi Mahkamah Syariah.
“Sebagai langkah pemerkasaan, penubuhan Mahkamah Syariah hendaklah diletakkan dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Kedah sebagaimana Mahkamah Sivil disebut dengan jelas dalam Perlembagaan Persekutuan,” titah baginda sempena Istiadat Perasmian Pembukaan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah bagi Mesyuarat Pertama Penggal Kedua di sini, hari ini.
Turut berangkat, Sultanah Kedah, Sultanah Maliha Tengku Ariff, Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah dan Raja Puan Muda Kedah, Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff.
Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor.
Sultan Sallehuddin bertitah, Mahkamah Syariah adalah obor keadilan agama Islam yang menjadi agama rasmi negeri ini.
Oleh itu, baginda mahu usaha pemerkasaan itu dapat disegerakan demi memartabatkan ketinggian institusi Mahkamah Syariah di Negeri Kedah.
“Beta berpendapat tiada siapa yang akan lebih membela nasib negeri ini melainkan rakyat negeri ini sendiri.
“Pembentukan jiwa rakyat yang cintakan negeri haruslah dipupuk supaya rakyat tanpa mengira kaum yang menyandang jawatan penting tidak melupakan negeri yang menjadi tanahtumpah darahnya,” titah baginda.
Sementara itu, Sultan Kedah mengingatkan ahli DUN supaya memahami peranan hakiki sebagai penggubal undang-undang agar tidak menyimpang dari matlamat asal.
“Kuasa Dewan ini dalam menggubal undang-undang meliputi perkara yang termaktub dalam Senarai Negeri dan Senarai Bersama Perlembagaan Persekutuan.
“Sebagai tambahan menurut Perkara 77 Perlembagaan Persekutuan, Dewan juga berkuasa menggubal undang-undang bagi perkara yang tidak dinyatakan secara satu persatu bawah mana-mana senarai dalam Jadual Kesembilan.
“Untuk menjadi seorang penggubal undang-undang berwibawa, semua ahli Dewan harus turun padang menyelami masalah rakyat dan terbuka mendengar pandangan semua pihak,” titah baginda. – Harian Metro