KOTA BHARU: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan meluluskan bantuan kewangan bulanan RM500 kepada dua anak pegawai Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Norhazwani Ibrahim, yang mati dibunuh di Nilai pada bulan lalu.
Pengarahnya, Che Samsuzuki Che Noh, berkata kedua-dua kanak-kanak itu yang kini berada di bawah jagaan ibu saudara sebelah ibu mereka, masing-masing akan menerima RM250 seorang menerusi skim Bantuan Anak Pelihara (BAP) bermula bulan depan.
Kanak-kanak berkenaan berusia lima dan enam tahun.
Che Samsuzuki berkata, kedua-dua kanak-kanak itu kini dijaga oleh ibu saudara mereka, Marliza Ibrahim, 48, di Pengkalan Kubor, Tumpat.
“Marliza sudah menjaga kedua-dua kanak-kanak itu memandangkan ibu mereka bekerja di luar Kelantan,” katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata, perintah interim Orang Yang Layak dan Sesuai (OYLS) diperoleh di Mahkamah Majistret Tumpat pada 2 November lalu untuk tempoh dua bulan.
“Perintah OYLS secara kekal dijadualkan diperoleh pada 2 Januari tahun depan,” katanya.
Norhazwani, 35, ditemukan meninggal dunia di sebuah unit kuarters kerajaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Nilai, Negeri Sembilan, pada 15 Oktober lalu.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Suaminya menyerah diri di Balai Polis Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang, Selangor, pada malam kejadian.
Bedah siasat mendapati Norhazwani meninggal dunia akibat tekanan pada leher dan mengalami tiga kesan tikaman, iaitu dua di bahagian perut dan satu di pipi kanan.
Pada 26 Oktober lalu, suaminya, Mohd Khairudin Safi’ai, 37, didakwa di Mahkamah Majistret Seremban atas pertuduhan membunuh isterinya.
Tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mahkamah menetapkan 22 Disember ini untuk sebutan semula kes itu. Berita Harian
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
