Nasib menimpa Joshua Wong jadi peringatan pentingnya lindungi hak asasi manusia

Oleh: Prof. Madya Dr. Muzaffar Syah Mallow

PADA 5 November 2026, Mahkamah Tinggi Hong Kong menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun terhadap Joshua Wong di bawah Undang-Undang Keselamatan Negara, selepas beliau dikatakan mengaku bersalah atas pertuduhan berkonspirasi untuk bersekongkol dengan kuasa asing.

Banyak negara dan badan hak asasi manusia antarabangsa mengutuk kes jenayah yang dikenakan terhadap Joshua Wong serta mempertikaikan kesahihan pengakuan bersalah tersebut dan hukuman yang telah dijatuhkan ke atasnya.

Dalam kenyataan sebagai respons terhadap keputusan itu, pihak Amnesty International dan Human Rights Watch mengkritik hukuman tersebut, dengan menyatakan hukuman terbabit secara langsung menghukum advokasi politik yang bergerak secara aman.

📞 Heda: +6014-808 8897 | 💬 Iqi: +6010-924 2335

Kumpulan-kumpulan  ini juga melaporkan peruntukan undang-undang yang luas di bawah perundangan keselamatan di Hong Kong telah mengecilkan ruang sivik dan hak asasi manusia di bandar raya itu.

Pihak Amnesty International juga menyifatkan hukuman tersebut sebagai satu usaha untuk membendung kebebasan bersuara dan perbezaan pendapat, manakala pihak Human Rights Watch pula menyatakan prosiding jenayah telah disalahgunakan untuk menangkap aktivis politik.

Kedua-dua organisasi antarabangsa tersebut mengulangi gesaan agar sabitan jenayah itu dibatalkan dan mendesak pihak berkuasa Hong Kong dan China menghentikan pendakwaan terhadap aktivis yang menggunakan hak asasi mereka untuk kebebasan bersuara, meluahkan pendapat dan berpersatuan.

Joshua Wong adalah seorang aktivis dan ahli politik Hong Kong. Beliau mula mendapat perhatian antarabangsa semasa protes Hong Kong pada tahun 2014, dan peranan penting dalam “Gerakan Payung” (Umbrella Movement) yang menyebabkannya telah disenaraikan dalam kalangan “Remaja Paling Berpengaruh 2014” oleh majalah Time serta dicalonkan untuk gelaran “Tokoh Tahun Ini 2014” oleh majalah yang sama.

📞 +6019-936 9846 (Sharifah) | 💬 WhatsApp Tempahan
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan

Beliau juga telah dinamakan sebagai salah seorang “Pemimpin Terhebat Dunia’ oleh majalah Fortune pada tahun 2015. Pendakwaan dan hukuman terhadap Joshua Wong ini seharusnya menjadi peringatan keras kepada semua pihak mengenai kepentingan melindungi hak asasi manusia, khususnya kebebasan bersuara dan berekspresi.

Prinsip kebebasan bersuara dan meluahkan pendapat adalah sebahagian daripada prinsip hak asasi manusia sejagat dan ianya juga termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan negara kita.

Kebebasan bersuara dan meluahkan pendapat tidak perlu dilihat sebagai ancaman ataupun musuh pada setiap masa.

Walaupun orang ramai sering diseru mengunakan kebebasan bersuara dan meluahkan pendapat yang telah diberikan kepada mereka dengan baik dan penuh tanggungjawab, pihak pemerintah juga perlu memainkan peranan mereka untuk memastikan hak asasi setiap rakyat Malaysia untuk bersuara dan meluahkan pendapat terus dihormati dan dilindungi.

Kebebasan untuk bersuara dan meluahkan pendapat adalah penting untuk setiap manusia di atas muka bumi ini kerana melaluinya seseorang individu itu dapat melakukan pelbagai perkara seperti mempertahankan diri mereka sendiri, membantu masyarakat sekeliling serta memajukan negara.

Agak sukar untuk sesebuah seseorang individu, masyarakat dan negara untuk maju dan bergerak ke hadapan sekiranya hak mereka untuk bersuara dan meluahkan pendapat tidak dihormati. 

Setiap manusia dilahirkan unik dan berbeza dengan memiliki pelbagai ragam, pandangan dan pemikiran. Setiap keunikan dan perbezaan ini sekali gus melahirkan pelbagai jenis pemahaman dan pendapat yang berbeza antara satu sama lain.

Pemahaman dan pendapat yang berbeza ini seharusnya didengari, dinilai dan dipertimbangkan untuk digunakan bagi membantu masyarakat dan negara untuk bergerak ke hadapan demi manfaat dan kebaikan semua pihak.

Sekiranya kita mewujudkan sebarang jenis undang-undang baru ataupun mengunakan peruntukan undang-undang sedia ada bagi mengekang kebebasan orang ramai untuk bersuara serta meluahkan pendapat ia dibimbangi boleh membantutkan kemajuan dan pembangunan negara kita.

Kebebasan setiap orang bersuara dan meluahkan pendapat adalah ini sebahagian daripada hak asasi setiap manusia. Artikel 19 Peristiharan Hak Asasi Manusia Sejagat 1948 (UDHR) memperuntukan dengan jelas kebebasan setiap manusia diserata dunia untuk bersuara bagi meluahkan pandangan dan pendapat mereka.

Penting juga untuk kita ketahui, kebebasan individu untuk bersuara dan meluahkan pendapat juga adalah penting bagi mengekalkan semangat demokrasi yang telah lama diamalkan dalam negara kita iaitu semenjak negara kita mencapai kemerdekaannya pada tahun 1957.

Seperti yang telah dinyatakan, hak setiap rakyat Malaysia untuk bersuara juga telah jelas termaktub dan dilindungi dibawah Perlembagaan Persekutuan itu sendiri.

Bahagian II dalam Perlembagaan Persekutuan memperuntukan dengan jelas mengenai kebebasan asasi setiap warganegara dalam negara kita.

Salah satu bentuk kebebasan asasi yang jelas dilindungi dalam negara kita adalah kebebasan setiap rakyat negara ini untuk bercakap, berhimpun dan berpersatuan seperti yang jelas terkandung di dalam Perkara 10 (1) Perlembagaan Persekutuan itu sendiri.

Setiap jenis kebebasan termasuk kebebasan untuk bersuara dan memberi pendapat adalah asas kepada kewujudan demokrasi dalam sesebuah negara serta ianya penting bagi menjamin serta melindungi maruah setiap diri manusia itu sendiri serta menjamin kemajuan dan pembangunan negara.  

Tidak dapat dinafikan setiap jenis hak asasi yang telah diperuntukan termasuk kebebasan untuk bersuara dan meluahkan pendapat tidak bersifat mutlak.

Walaupun kebebasan untuk bersuara dan memberi pendapat ini boleh dihadkan, namun ia tidak bermakna pihak pemerintah boleh merangka sebarang jenis undang-undang bagi menutup terus kebebasan setiap rakyat Malaysia untuk bersuara dan memberi pendapat ataupun mengunakan sebarang jenis peruntukan undang-undang sedia ada dalam negara kita bagi mengekang hak setiap rakyat untuk bersuara dan meluahkan pendapat.

Hak orang ramai untuk bersuara dan memberi pendapat mesti diberi keutamaan supaya setiap orang tidak merasakan diri mereka dipinggirkan atau disisihkan dalam kemajuan dan pembangunan negara.

Semua pihak harus berani mendengar setiap rintihan dan luahan hati setiap orang walaupun ia merupakan satu proses yang sukar dan berat untuk dilakukan.

Setiap pandangan harus didengari dan difahami dengan baik. Sekiranya terdapat sebarang perbezaan pendapat, proses perbincangan dan perdebatan perlu dilakukan supaya semua pihak yang terlibat dapat memahami dengan lebih baik apa yang ingin disampaikan oleh mereka serta menyelesaikan sebarang jenis isu ataupun masalah berbangkit.

Penulis, Prof. Madya Dr. Muzaffar Syah Mallow dari Fakulti Syariah & Undang-Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Telegram: Nasional Daily

Facebook: Nasional Daily

TikTok: NasionalDaily

Whatsapp: NasionalDaily.com

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *