KUALA LUMPUR – UMNO mengemukakan empat pilihan kepada DAP bagi menangani ketidakpuasan hati parti itu berhubung perkembangan pengampunan bersyarat terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sambil menegaskan perbezaan pendirian politik tidak seharusnya menggugat kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan.
Ketua Penerangannya, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, gesaan Pengerusi DAP, Gobind Singh Deo supaya Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi meletakkan jawatan sekiranya tidak menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim disifatkan sebagai tindakan yang tidak membantu memperkukuh persefahaman antara parti dalam kerajaan.
Menurutnya, Kerajaan Perpaduan dibentuk susulan titah Yang di-Pertuan Agong ke-15 selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menerusi rundingan politik dan persetujuan bersama antara gabungan yang membentuk kerajaan.
Beliau berkata, kerjasama itu turut dimeterai melalui Perjanjian Kerjasama Kerajaan Perpaduan Malaysia pada 16 Disember 2022 yang menetapkan kerangka kestabilan politik, sokongan Parlimen dan kelancaran pentadbiran negara.
Azalina menjelaskan, Fasal 4 perjanjian berkenaan menetapkan komitmen parti-parti gabungan untuk menyokong Perdana Menteri dalam perkara berkaitan undi percaya, Rang Undang-Undang Perbekalan serta usul prosedur yang memberi kesan kepada keabsahan kerajaan.
Bagaimanapun, katanya, persetujuan itu tidak boleh ditafsirkan sebagai kewajipan untuk setiap parti menerima secara mutlak semua kenyataan atau pendirian politik Perdana Menteri dan pemimpin lain.
Beliau turut mengingatkan perjanjian berkenaan bukan sekadar membabitkan perkongsian kuasa, sebaliknya mengandungi komitmen mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, termasuk kedudukan Islam, orang Melayu, Bumiputera dan institusi Raja-Raja Melayu.
Sehubungan itu, UMNO berpandangan sebarang perbezaan pendapat antara rakan gabungan sepatutnya diselesaikan melalui dialog dan rundingan, bukannya tekanan terbuka atau desakan supaya pemimpin parti tertentu melepaskan jawatan.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Mengulas kedudukan Ahmad Zahid, Azalina berkata, Presiden UMNO itu mempunyai tanggungjawab mempertahankan kepentingan, prinsip dan mandat politik parti, sebagaimana UMNO menghormati peranan serta tanggungjawab pemimpin parti lain dalam Kerajaan Perpaduan.
Beliau turut menegaskan, UMNO akan terus mempertahankan perkara berkaitan prerogatif pengampunan diraja seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.
Mengenai pengampunan bersyarat Najib, Azalina berkata, kuasa pengampunan merupakan kuasa perlembagaan yang terletak pada pihak berkuasa berkaitan dan tidak wajar digambarkan sebagai keputusan politik secara unilateral oleh mana-mana parti, termasuk UMNO.
Dalam kenyataan media bertarikh 13 November itu, Azalina menggariskan empat pilihan yang boleh dipertimbangkan DAP bagi meredakan ketegangan politik berhubung isu berkenaan.
Pilihan pertama ialah menggunakan mekanisme pengantaraan menerusi Majlis Perundingan seperti diperuntukkan dalam Fasal 5(c) Perjanjian Kerjasama Kerajaan Perpaduan.
Mekanisme itu membolehkan wakil gabungan memantau pelaksanaan perjanjian dan membantu menyelesaikan pertikaian atau salah faham secara harmoni.
Azalina mempersoalkan mengapa saluran berkenaan tidak digunakan lebih awal, sedangkan isu pengampunan Najib sudah diketahui umum sejak Januari 2024.
Pilihan kedua ialah menamatkan Perjanjian Kerjasama Kerajaan Perpaduan. Bagaimanapun, beliau menjelaskan perjanjian itu tidak menyediakan klausa penamatan khusus kerana dirangka untuk berkuat kuasa sehingga tamat penggal Parlimen ke-15.
Justeru, langkah berkenaan, menurutnya, membawa implikasi kepada pembubaran Parlimen sebelum tamat penggal.
Pilihan ketiga ialah DAP menerima keadaan sedia ada dan membenarkan aturan Kerajaan Perpaduan diteruskan tanpa tindakan yang boleh menjejaskan kestabilan politik.
Azalina turut mengingatkan bahawa DAP pernah mendapat manfaat daripada pelaksanaan prerogatif pengampunan diraja pada 2018 serta titah diraja pada 2022 yang membawa kepada pembentukan Kerajaan Perpaduan.
Pilihan keempat pula ialah DAP memohon supaya Perenggan C dalam Mukadimah perjanjian berkenaan dikaji semula.
Bagaimanapun, UMNO menganggap perenggan yang menyentuh komitmen mempertahankan Perlembagaan Persekutuan itu sebagai antara asas penting kerjasama politik berkenaan, manakala sebarang usaha mengubahnya berpotensi memberi kesan terhadap kesinambungan kerajaan.
Dalam perkembangan sama, Azalina turut membangkitkan keputusan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP pada 19 September 2026 yang memutuskan Setiausaha Agung parti itu meletakkan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan susulan perkembangan pengampunan bersyarat Najib.
Beliau menyifatkan keputusan tersebut sebagai tindakan sebelah pihak kerana dibuat tanpa rundingan terlebih dahulu dengan rakan gabungan, sekali gus menimbulkan ketegangan dalam kerjasama kerajaan.
Azalina turut menjelaskan Perjanjian Kerjasama Kerajaan Perpaduan tidak menghalang mana-mana parti daripada menjalinkan kerjasama politik dengan parti lain di peringkat negeri.
Katanya, kerjasama politik di peringkat Persekutuan perlu dibezakan daripada aturan politik negeri yang bergantung kepada keputusan kepimpinan parti serta realiti politik setempat.
Prinsip itu, katanya, terpakai kepada Johor, Negeri Sembilan, Melaka dan negeri-negeri lain, termasuk kerjasama yang dibentuk ketika pilihan raya negeri.
Mengakhiri kenyataannya, Azalina menegaskan penyertaan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan merupakan keputusan kolektif yang dibuat demi kepentingan rakyat dan negara.
Beliau berkata UMNO akan terus memenuhi komitmen yang dipersetujui, menghormati kepimpinan Perdana Menteri serta mempertahankan Perlembagaan Persekutuan.
” Pendirian UMNO telah dinyatakan dengan jelas. Kini, terpulang kepada DAP untuk menentukan langkah seterusnya,” katanya.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
