Dari Meja Editorial ND
KEMELUT pentadbiran Negeri Sembilan kini bukan lagi sekadar pertelingkahan antara pemimpin politik dengan institusi diraja, sebaliknya krisis berlarutan itu menimbulkan persoalan lebih besar mengenai kewibawaan kerajaan negeri, kedudukan anggota Exco, keutuhan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 serta tanggungjawab semua pihak dalam memastikan urusan rakyat tidak menjadi mangsa perebutan kuasa.
Krisis terbaharu ini memuncak apabila Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir membatalkan pelantikan 10 anggota Exco kerajaan negeri berkuat kuasa 20 September 2026, yang mana ia diwartakan pada 24 September dengan alasan mereka didakwa melanggar ikrar taat setia kepada baginda.
Bagaimanapun, Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim menegaskan, 10 anggota Exco itu masih sah menjalankan tugas kerana beliau tidak pernah menasihati atau meminta supaya pelantikan mereka ditamatkan.
Ismail berhujah, Perkara 38(5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 perlu dibaca bersama peruntukan lain, termasuk Perkara 38(4) dan Perkara 40(1). Menurut tafsirannya, kuasa Yang di-Pertuan Besar dalam hal pentadbiran negeri tertakluk pada kerangka Raja Berperlembagaan dan nasihat Menteri Besar serta MMKN.
Di sinilah pertikaian pokok bermula. Istana mempunyai asas pendiriannya berdasarkan peruntukan yang dirujuk dalam pembatalan pelantikan, manakala Menteri Besar mempertikaikan kesahan tindakan itu tanpa nasihat beliau.
Kedua-dua pendirian itu tidak boleh dianggap diputuskan secara muktamad hanya kerana salah satu pihak mengeluarkan kenyataan atau warta. Persoalannya, bagaimana ia harus ditafsirkan secara menyeluruh dan sama ada proses diambil mematuhi kehendak Undang-Undang Tubuh Negeri.
Dalam sebuah sistem pemerintahan berperlembagaan, pertikaian mengenai kuasa tidak seharusnya berakhir dengan setiap pihak berpegang pada tafsiran masing-masing tanpa mekanisme penyelesaian yang jelas. Jika dibiarkan berlarutan, ketidakpastian itu boleh menjejaskan keyakinan terhadap pentadbiran negeri.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Pada 22 September, laporan Malaysiakini menyatakan Menteri Besar dan 10 anggota Exco masih meneruskan tugas seperti biasa serta mempunyai akses ke pejabat masing-masing. Kenyataan itu berdasarkan pengesahan Setiausaha Akhbar Menteri Besar, Mohd Fasha Musthafa.
Namun, keadaan berubah apabila Menteri Besar pada 24 September mendakwa anggota Exco berkenaan dihalang memasuki pejabat masing-masing di Wisma Negeri. Beliau mempersoalkan arahan itu kerana tiada perintah bertulis atau perintah mahkamah dimaklumkan kepadanya.
Pada hari sama, polis mengesahkan kawalan akses terhadap bekas anggota Exco susulan pengumuman pembatalan pelantikan oleh Istana. Perkembangan itu menunjukkan krisis berkenaan bukan lagi pertikaian di atas kertas. Ia telah memasuki ruang operasi pentadbiran apabila timbul persoalan mengenai siapa boleh memasuki pejabat, menjalankan fungsi Exco dan membuat keputusan bagi pihak kerajaan negeri.
Namun, urusan harian seperti pembayaran yang telah diluluskan, perkhidmatan kesihatan, pendidikan, penyelenggaraan kemudahan awam dan operasi jabatan kerajaan boleh diteruskan melalui struktur pentadbiran sedia ada tertakluk pada kuasa, peraturan kewangan dan prosedur yang sah.
Masalah lebih besar timbul apabila sesuatu urusan memerlukan keputusan politik baharu, kelulusan tertentu atau pertimbangan kolektif MMKN. Jika kedudukan anggota yang mempunyai tanggungjawab tersebut masih dipertikaikan, siapa mempunyai kuasa sah untuk membuat keputusan?
Kerajaan negeri perlu menjelaskan perkara ini secara terbuka. Rakyat berhak mengetahui sama ada mesyuarat MMKN terus berlangsung, siapakah yang menghadirinya, bagaimana keputusan dibuat dan apakah mekanisme digunakan untuk mengurus perkara mendesak.
Kenyataan bahawa pentadbiran berjalan seperti biasa tidak memadai jika persoalan mengenai proses membuat keputusan masih belum terjawab. Malah, kawalan polis di Wisma Negeri menjadi satu lagi gambaran nyata betapa seriusnya krisis tersebut.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad menjelaskan, pengurusan akses dilakukan selepas pengumuman pembatalan pelantikan bekas anggota Exco. Kawalan keselamatan turut dilakukan di beberapa lokasi lain, termasuk Galeri Diraja Tuanku Ja’afar dan Balai Undang Luak Sungei Ujong.
Menurut polis, tindakan itu memastikan keselamatan, ketenteraman awam dan kelancaran urusan di premis berkenaan. PDRM turut menegaskan, langkah tersebut tidak boleh ditafsirkan sebagai pengiktirafan terhadap mana-mana pihak dalam pertikaian berkenaan.
Bagaimanapun, persoalan masih perlu diperjelas, adakah pejabat Exco ditutup sepenuhnya atau hanya akses individu tertentu yang dikawal? Adakah pegawai dan kakitangan masih bertugas? Siapakah mengendalikan fail, permohonan rakyat dan urusan sebelum ini berada di bawah tanggungjawab setiap Exco?
Setakat laporan yang dapat disahkan, terdapat pengesahan mengenai kawalan akses, tetapi maklumat itu tidak mencukupi untuk menyimpulkan bahawa semua pejabat kerajaan negeri ditutup atau seluruh pentadbiran terhenti.
Kawalan akses terhadap bekas anggota Exco tidak sama dengan penutupan keseluruhan Wisma Negeri. Begitu juga, tidak tepat untuk mengatakan polis menjaga setiap pejabat Exco secara berterusan tanpa pengesahan khusus mengenai keadaan semasa.
Kerajaan negeri perlu memberikan gambaran sebenar mengenai keadaan operasi pejabat, bukan membiarkan ruang maklumat dipenuhi andaian dan spekulasi.
Dari sudut pentadbiran, kerajaan negeri mempunyai struktur lebih luas daripada Menteri Besar dan anggota Exco sahaja. Setiausaha Kerajaan Negeri, jabatan-jabatan negeri, pihak berkuasa tempatan, badan berkanun dan penjawat awam melaksanakan pelbagai fungsi berdasarkan undang-undang serta bidang kuasa masing-masing.
Oleh itu, ketiadaan atau ketidakaktifan anggota Exco tidak semestinya seluruh jabatan di bawah portfolio berkenaan berhenti bekerja. Pegawai kerajaan masih boleh menjalankan urusan rutin termasuk dalam kuasa mereka.
Jika kedudukan semua 10 anggota Exco dipertikaikan serentak, kesannya lebih besar daripada kekosongan satu atau dua portfolio. Ia menimbulkan persoalan mengenai keupayaan kerajaan membuat keputusan secara kolektif, terutama bagi perkara yang tidak boleh diselesaikan pada peringkat jabatan.
Menteri Besar dilaporkan berkata, beliau mempunyai formula untuk menggerakkan jentera kerajaan ketika kemelut berkenaan. Bagaimanapun, perkara lebih penting daripada kewujudan formula ialah penjelasan mengenai asas kuasa, kaedah pelaksanaan dan batas keputusan yang boleh dibuat sepanjang pertikaian belum diselesaikan.
Persoalan mengenai persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) juga tidak boleh diketepikan. Pada 24 September, Ismail berkata tarikh persidangan DUN belum diputuskan kerana Dewan hanya perlu bersidang sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh enam bulan. Beliau turut menyatakan persidangan terakhir berlangsung pada Ogos.
Kenyataan itu memberikan gambaran kerajaan negeri ketika itu masih berada dalam tempoh yang dianggap dibenarkan sebelum persidangan berikutnya perlu diadakan.
Apabila kerajaan negeri berhadapan krisis yang menyentuh kedudukan institusi diraja, pelantikan Exco dan tafsiran kuasa perlembagaan, sidang DUN sepatutnya menjadi antara ruang penting untuk menjelaskan keadaan kepada wakil rakyat.
Persidangan Dewan membolehkan persoalan mengenai kepentingan rakyat, keupayaan kerajaan menjalankan tugas, kedudukan kewangan negeri dan langkah penyelesaian krisis dibangkitkan secara rasmi.
Namun, DUN bukan mahkamah yang secara automatik boleh menentukan kesahan setiap tindakan diraja atau menyelesaikan semua pertikaian perlembagaan. Peranan Dewan perlu dilaksanakan dalam lingkungan kuasa yang diberikan oleh Undang-Undang Tubuh Negeri.
Persoalannya, adakah kerajaan negeri hanya menunggu sehingga hampir tamat tempoh enam bulan, atau terdapat pertimbangan lain yang menyebabkan sidang belum dipanggil?
Menunggu sehingga had minimum bukan semestinya pendekatan terbaik untuk memulihkan keyakinan rakyat. Jika persidangan lebih awal boleh membantu menjelaskan kedudukan kerajaan dan memastikan kepentingan awam terus diberi perhatian, pilihan itu wajar dipertimbangkan berdasarkan undang-undang dan keadaan semasa.
Pertikaian berkenaan perlu dilihat dalam konteks krisis institusi diraja yang lebih luas, khususnya pertikaian berkaitan kedudukan Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar serta dakwaan mengenai pelantikan pemerintah lain.
Dalam perkembangan terdahulu, kerajaan negeri pimpinan BN menyatakan pendirian menyokong kesahan tindakan yang mencabar kedudukan Tuanku Muhriz.
Pada 17 September, Ismail turut mengumumkan hasrat kerajaan negeri untuk mewartakan pelantikan Tuanku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar sebagai pemerintah. Perkembangan ini berlaku dalam suasana pertikaian mengenai kuasa Undang Yang Empat dan proses yang diperuntukkan dalam Undang-Undang Tubuh Negeri.
Oleh itu, sukar untuk menafikan krisis ini melibatkan persoalan pengiktirafan terhadap institusi Yang di-Pertuan Besar, bukan sekadar pertikaian teknikal mengenai pelantikan Exco.
Jika kerajaan negeri mengambil langkah yang pada hakikatnya tidak mengiktiraf kedudukan Tuanku Muhriz, ia perlu menjelaskan asas perlembagaan digunakan. Jika kerajaan masih menganggap baginda sebagai pemerintah yang sah, tetapi mempertikaikan bidang kuasa tertentu, perbezaan itu juga perlu dinyatakan secara terang.
Institusi diraja tidak boleh diperlakukan sebagai sekadar satu lagi pihak dalam pertelingkahan politik. Pada masa sama, sebarang pertikaian mengenai kedudukan pemerintah perlu diselesaikan mengikut proses dan peruntukan yang berkenaan, bukannya melalui kenyataan sepihak semata-mata.
Dalam sistem Raja Berperlembagaan, penghormatan terhadap institusi dan kepatuhan kepada undang-undang tidak seharusnya dianggap sebagai dua perkara yang bercanggah. Kedua-duanya perlu bergerak seiring.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
