YONG PENG – Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek mengarahkan semua aspek di bawah tanggungjawab Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berkaitan kematian seorang pelajar perempuan Tingkatan Empat di sebuah sekolah di Yong Peng, Batu Pahat, diperiksa secara menyeluruh.
Tegas beliau, pemeriksaan itu termasuk rekod kehadiran pelajar ketika kelas tambahan, aspek kawalan keselamatan serta rondaan di kawasan sekolah, termasuk peranan syarikat kawalan keselamatan yang dilantik.
“Saya mahu semua perkara yang berada di bawah tanggungjawab Kementerian Pendidikan diperiksa dengan menyeluruh. Jangan sembunyikan apa-apa.
“Ini termasuk rekod kehadiran pelajar ketika kelas tambahan serta aspek kawalan keselamatan dan rondaan di sekolah. Syarikat kawalan keselamatan turut diminta memberikan kerjasama bagi semakan tersebut,” katanya ketika meninjau sekolah berkenaan, hari ini.
Fadhlina berkata, beliau berada di Yong Peng bagi mendapatkan gambaran sebenar mengenai kejadian yang meragut nyawa pelajar terbabit, selain memastikan semua tindakan berada di bawah bidang kuasa kementerian diberi perhatian.
Katanya, beliau menerima taklimat daripada polis, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Johor, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Batu Pahat dan pihak sekolah mengenai kronologi kejadian serta tindakan yang sedang dilaksanakan.
Dalam perkembangan sama, Fadhlina turut meluangkan masa bertemu keluarga mangsa di Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat.
Beliau berkata, kehilangan seorang anak merupakan dugaan amat berat buat sesebuah keluarga dan pihak kementerian memahami keluarga mangsa kini memerlukan ruang untuk menghadapi saat paling sukar itu.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
“Dalam saat begini, tiada siapa merasakan kehilangan ini lebih dalam daripada keluarga. Seorang anak telah pergi. Keluarganya berhak mendapat jawapan,” katanya.
Menurut Fadhlina, berdasarkan maklumat diterima daripada PDRM, mangsa ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di kawasan sekolah sebelum disahkan meninggal dunia.
Beliau berkata, seorang remaja lelaki berusia 16 tahun telah ditahan dan direman selama enam hari bagi membantu siasatan, manakala kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Fadhlina menegaskan, KPM tidak akan mengambil sebarang tindakan yang boleh mendahului siasatan PDRM, sebaliknya memberikan kerjasama sepenuhnya bagi memastikan pihak berkuasa dapat menjalankan siasatan tanpa gangguan.
Pada masa sama, katanya, kementerian akan meneliti segala perkara yang berada dalam bidang tanggungjawabnya bagi mengenal pasti sama ada terdapat kelemahan atau kecuaian dalam aspek keselamatan dan pengurusan sekolah.
“Jika terdapat kecuaian atau tanggungjawab yang tidak dilaksanakan sebagaimana sepatutnya, tindakan tegas akan diambil,” katanya.
Beliau berkata, sokongan kaunseling juga sedang diberikan kepada murid dan warga sekolah yang terkesan susulan kejadian itu bagi membantu mereka menghadapi kesan emosi akibat tragedi berkenaan.
Menurutnya, kebajikan murid dan warga sekolah perlu terus diberikan perhatian sepanjang tempoh siasatan, selain memastikan persekitaran sekolah kekal terkawal dan selamat.
Fadhlina pada masa sama meminta semua pihak memberikan ruang kepada keluarga mangsa serta menghormati proses siasatan yang sedang berjalan.
“Kita mahu kebenaran diperoleh berdasarkan fakta dan bukan spekulasi,” katanya.
Beliau berkata, kementerian akan terus memantau perkembangan kes berkenaan dan memastikan perkara yang berada di bawah tanggungjawab KPM diteliti secara menyeluruh berdasarkan hasil siasatan pihak berkuasa.
Lawatan Fadhlina ke sekolah berkenaan dilakukan ketika siasatan polis masih berjalan susulan kematian pelajar terbabit yang ditemukan tidak sedarkan diri di kawasan sekolah sebelum disahkan meninggal dunia.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
