BATU PAHAT – Tiga pelajar lelaki berusia 16 tahun ditahan polis bagi membantu siasatan kematian seorang pelajar perempuan Tingkatan Empat yang ditemukan dalam keadaan kritikal sebelum meninggal dunia di sebuah sekolah di Yong Peng, dekat sini, petang semalam.
Ketiga-tiga pelajar itu dipercayai bersekolah di sekolah yang sama dengan mangsa, Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal, 16, ditahan beberapa jam selepas mangsa ditemukan kira-kira jam 5.30 petang.
Difahamkan, seorang daripada mereka akan dibawa ke Mahkamah Majistret Batu Pahat pagi ini bagi mendapatkan perintah reman untuk membolehkan polis menjalankan siasatan lanjut berhubung kematian mangsa.
Setakat ini, polis belum mendedahkan motif kejadian atau butiran lengkap mengenai keadaan yang membawa kepada kematian pelajar berkenaan, manakala siasatan masih dijalankan bagi menentukan punca serta bagaimana kejadian itu berlaku.
Kejadian terbongkar selepas Irene Sofiya yang dipercayai hadir ke sekolah untuk mengikuti kelas tambahan tidak pulang ke rumah seperti biasa. Neneknya kemudian dimaklumkan mengenai kehilangan mangsa selepas dua rakannya datang mencarinya.
Nenek bersama ahli keluarga dan rakan mangsa kemudian pergi ke sekolah sebelum menemui Irene Sofiya di kawasan dewan dalam keadaan lemah dan berlumuran darah. Mangsa sempat memberikan reaksi ketika dipanggil sebelum keadaannya merosot.
Mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia dan kes kini disiasat polis, termasuk bagi menentukan sama ada kecederaan yang dialaminya mempunyai kaitan dengan unsur jenayah seperti yang disyaki.
Polis turut menjalankan siasatan forensik di lokasi kejadian bagi mengumpul bukti dan mengenal pasti keadaan sebenar yang berlaku sebelum mangsa ditemukan.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
JOHOR BAHRU: Kerajaan Negeri Johor memandang serius kejadian kematian pelajar berkenaan dan menegaskan tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk buli, keganasan atau perlakuan jenayah yang boleh mengancam keselamatan warga sekolah.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri, Dr. Muhammad Naqib Md. Ghazali berkata, Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Batu Pahat telah diarahkan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa sepanjang siasatan dijalankan.
Katanya, kedua-dua agensi berkenaan turut diminta memberikan sokongan sewajarnya kepada keluarga mangsa serta komuniti sekolah yang terkesan dengan tragedi berkenaan.
“Saya ingin menegaskan, tiada kompromi terhadap sebarang bentuk buli, keganasan atau perlakuan jenayah yang boleh mengancam keselamatan warga sekolah.
“Namun, sama ada insiden ini mempunyai unsur-unsur berkenaan hendaklah ditentukan berdasarkan hasil siasatan pihak berkuasa, bukannya melalui spekulasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Muhammad Naqib berkata, sekolah sepatutnya kekal sebagai tempat selamat untuk setiap anak Johor menimba ilmu, membina masa depan serta berada dalam persekitaran yang melindungi keselamatan dan kesejahteraan mereka.
Menurutnya, kerajaan negeri menyerahkan sepenuhnya kepada polis untuk menjalankan siasatan menyeluruh bagi mendapatkan gambaran sebenar berhubung kejadian itu.
Beliau berkata, kerajaan negeri bersama JPNJ dan agensi berkaitan akan terus memberi perhatian terhadap aspek keselamatan di institusi pendidikan serta mengambil tindakan susulan sewajarnya berdasarkan hasil siasatan pihak berkuasa.
“Saya menyeru semua pihak, termasuk orang awam dan pengguna media sosial, tidak membuat sebarang spekulasi, menyebarkan maklumat yang belum disahkan atau membuat kesimpulan awal yang boleh mengganggu proses siasatan serta menambah kesedihan keluarga mangsa.
“Dalam tempoh ini, keutamaan kita adalah menghormati keluarga mangsa, memberikan ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan dengan teliti dan memastikan sebarang maklumat disampaikan kepada masyarakat adalah tepat serta bertanggungjawab,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Ahli Parlimen Putrajaya yang juga bekas Menteri Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin menggesa Kementerian Pendidikan (KPM) memberikan penjelasan segera berhubung kejadian berkenaan.

Radzi berkata, sehingga jam 10.40 pagi hari ini, beliau belum menemui kenyataan rasmi KPM berhubung kematian pelajar itu.
Menurutnya, penjelasan daripada kementerian penting bagi memastikan masyarakat memperoleh maklumat tepat mengenai kejadian, khususnya apabila insiden itu berlaku di kawasan sekolah dan membabitkan seorang pelajar.
Kata beliau, pihak kementerian juga wajar menjelaskan tindakan sedang diambil bagi memastikan keselamatan warga sekolah terus diberikan keutamaan, selain memaklumkan perkembangan boleh disahkan kepada ibu bapa dan masyarakat.
Beliau berkata, penjelasan sedemikian amat penting bagi mengelakkan kekeliruan serta spekulasi berhubung insiden yang sedang disiasat pihak berkuasa.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
