Melihat Pelancongan Daripada Perspektif Berbeza

Oleh: Akmal Fakrullah Abdul Karim Maryam dan Maisarah Sirajuddin

PELANCONGAN sering dilihat melalui angka ketibaan pelancong, pendapatan negara dan jumlah perbelanjaan yang dijana.

Sebagai pelajar dalam bidang pelancongan, penulis juga melihat industri ini melalui perspektif yang hampir sama.

Namun, lawatan akademik ke Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC), Kuala Lumpur bersama 28 rakan pelajar Program Pengurusan dengan Pelancongan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) baru-baru ini mengubah pandangan tersebut.

📞 Heda: +6014-808 8897 | 💬 Iqi: +6010-924 2335

Empat sesi perkongsian bersama wakil Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta Tourism Malaysia memperlihatkan bahawa industri pelancongan sebenarnya jauh lebih luas.

Ia bukan sekadar membawa masuk pelancong, tetapi turut berkait dengan pemeliharaan warisan, pembangunan bakat, komunikasi, imej negara dan kerjasama antara pelbagai pihak.

Lawatan yang diketuai Dr. Muhammad Rozien Zakwan selaku penyelaras dan ketua rombongan itu memberi peluang kepada peserta melihat sendiri bagaimana dasar dan strategi pelancongan yang dipelajari di dalam bilik kuliah diterjemahkan dalam konteks sebenar industri.

Antara perkongsian yang paling memberi kesan ialah penerangan oleh Pegawai MaTiC, Puan Shereen Harun mengenai Dasar Pelancongan Negara 2020-2030.

📞 +6019-936 9846 (Sharifah) | 💬 WhatsApp Tempahan
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan

Perkongsian itu membawa satu mesej penting bahawa kejayaan sektor pelancongan tidak seharusnya dinilai berdasarkan jumlah pelancong semata-mata.

Pertumbuhan industri perlu diseimbangkan dengan usaha memelihara alam sekitar, sejarah dan warisan negara.

Sebagai pelajar, perkara itu mengubah cara penulis memahami maksud kejayaan dalam pelancongan. Menarik jutaan pelancong mungkin menjadi satu pencapaian, tetapi pencapaian itu kehilangan makna sekiranya alam semula jadi rosak, tapak warisan tidak dipelihara atau identiti masyarakat tempatan semakin terhakis.

Warisan bukan sekadar produk untuk dipasarkan kepada pelancong. Ia adalah khazanah yang diwarisi daripada generasi terdahulu dan perlu disampaikan kepada generasi seterusnya dalam keadaan yang masih terpelihara.

Dalam konteks itu, generasi muda yang bakal memasuki industri pelancongan juga mempunyai tanggungjawab.

Mereka bukan sahaja perlu memikirkan cara menarik lebih ramai pelancong, tetapi turut memastikan perkara yang menarik untuk datang ke Malaysia masih dapat dinikmati pada masa hadapan.

Perkongsian Pegawai MaTiC, Faizul Abd. Samad juga memberi perspektif berbeza mengenai peluang kerjaya dalam industri pelancongan.

Sebelum ini, mungkin masih ada pelajar yang mengaitkan pengajian pelancongan dengan beberapa kerjaya tertentu seperti pemandu pelancong, kakitangan hotel atau agensi pelancongan. Hakikatnya, industri ini mempunyai ekosistem pekerjaan yang jauh lebih luas.

Pelancongan melibatkan pengurusan destinasi, pemasaran, acara, komunikasi, penyelidikan, pembangunan dasar, warisan, pengangkutan, hospitaliti dan pelbagai bidang lain yang memerlukan kemahiran serta profesionalisme tersendiri.

Pendedahan seperti itu penting kepada pelajar kerana pengajian di universiti bukan sekadar untuk mendapatkan kelayakan akademik.

Malah perlu memahami bagaimana pengetahuan yang dipelajari boleh diterjemahkan kepada kerjaya dan sumbangan kepada industri.

Ia turut mengingatkan penulis supaya tidak terlalu awal mengehadkan pilihan kerjaya berdasarkan persepsi sendiri.

Perkongsian Pegawai Tourism Malaysia, Ahmad Kamarudin Yusof menunjukkan begitu penting aspek komunikasi, penguasaan bahasa serta pendedahan antarabangsa.

Bagi industri yang berhubung secara langsung dengan manusia daripada pelbagai negara dan latar belakang, kemampuan berkomunikasi merupakan satu kelebihan yang besar.

Penguasaan bahasa bukan sekadar memudahkan seseorang bercakap dengan pelancong. Malah membantu memahami budaya, membina hubungan dan melihat sesuatu isu daripada perspektif yang berbeza.

Sebagai generasi muda, pelajar juga tidak seharusnya mengehadkan pengalaman kepada persekitaran tempatan.

Pendedahan antarabangsa melalui mobiliti, pertukaran pelajar, latihan industri atau pengalaman bekerja di luar negara boleh membantu membina keyakinan serta memperluas pemikiran.

Namun, matlamatnya bukan sekadar untuk melihat dunia. Pengalaman dan amalan terbaik yang dipelajari di negara lain seharusnya dibawa pulang dan disesuaikan untuk membantu pembangunan industri pelancongan Malaysia.

Perkongsian mengenai komunikasi strategik dan pengurusan imej MOTAC oleh pegawainya, Azmi Abd. Majid pula memberi pemahaman tentang bagaimana pelbagai agensi memainkan peranan dalam membangunkan pelancongan negara.

Industri itu tidak boleh bergerak melalui satu kementerian atau organisasi sahaja. Kejayaannya memerlukan kerjasama kerajaan, Tourism Malaysia, pihak berkuasa tempatan, pemain industri, institusi pendidikan, komuniti serta masyarakat.

Setiap pihak mempunyai peranan yang saling melengkapi. Kempen yang baik memerlukan produk pelancongan yang berkualiti.

Destinasi yang menarik pula memerlukan kemudahan, kebersihan, keselamatan dan masyarakat yang bersedia menerima pelancong.

Pengalaman lawatan penulis dan rakan-rakan turut dilengkapkan dengan persembahan kebudayaan oleh artis Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) serta lawatan sekitar MaTiC.

Aktiviti itu memperlihatkan bagaimana seni, budaya dan warisan menjadi sebahagian daripada pengalaman pelancongan negara ini.

Lawatan ke MaTiC akhirnya membawa satu pengajaran yang lebih besar. Pembelajaran tentang pelancongan tidak seharusnya terhenti pada buku rujukan, slaid kuliah atau peperiksaan.

Berada di lapangan dan mendengar sendiri pandangan mereka yang terlibat dalam industri membantu pelajar memahami hubungan antara dasar, industri dan pengalaman sebenar pelancong.

Lawatan itu juga mengubah cara penulis melihat bidang yang sedang dipelajari. Pelancongan bukan hanya mengenai destinasi yang cantik atau jumlah manusia yang datang melawat.

Di belakangnya terdapat dasar, pekerjaan, budaya, komunikasi, kelestarian dan manusia yang menggerakkan keseluruhan ekosistem.

Sebagai generasi yang bakal memasuki industri ini, tanggungjawab penulis dan rakan-rakan bukan sekadar mempromosikan Malaysia kepada dunia.

Kami juga perlu memastikan identiti, alam semula jadi, seni dan warisan yang menjadikan Malaysia unik terus dipelihara.

Pada akhirnya, kejayaan pelancongan bukan hanya diukur melalui berapa ramai yang datang ke negara ini, tetapi juga melalui apa yang kita pelihara selepas mereka pulang.

Akmal Fakrullah Abdul Karim dan Maryam Maisarah Sirajuddin ialah pelajar Program Pengurusan dengan Pelancongan, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan.

Telegram: Nasional Daily

Facebook: Nasional Daily

TikTok: NasionalDaily

Whatsapp: NasionalDaily.com

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *