KUALA LUMPUR – Pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan dijangka terus berfungsi seperti biasa walaupun berlaku kekosongan jawatan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco), dengan kepentingan rakyat kekal menjadi keutamaan.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, terdapat beberapa mekanisme boleh digunakan bagi memastikan urusan pentadbiran, penyampaian perkhidmatan serta pelaksanaan program kerajaan negeri tidak terjejas.
Menurutnya, perbincangan diadakan sebelum ini sedang diteliti bagi mendapatkan pendekatan terbaik untuk memastikan kelangsungan pentadbiran negeri dalam situasi semasa.
“Daripada perbincangan panjang lebar itu, insya-Allah akan ada satu pendekatan supaya kerajaan negeri dapat berjalan seperti biasa. Itu yang lebih penting,” katanya.
Mengulas mengenai kekosongan jawatan Exco, Jalaluddin berkata, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim mempunyai pendekatan tersendiri bagi memastikan jentera kerajaan negeri terus berfungsi.
Katanya, agenda dan program yang melibatkan kepentingan rakyat tidak seharusnya terhenti hanya disebabkan perubahan dalam struktur pentadbiran Exco.
“Pelbagai kaedah boleh digunakan. Menteri Besar ada formula tertentu untuk menggerakkan jentera kerajaan supaya agenda bagi meneruskan program-program berkaitan dengan rakyat dapat dilaksanakan,” katanya.
Jalaluddin berkata, keutamaan ketika ini adalah memastikan kestabilan pentadbiran negeri serta menjamin segala urusan rakyat dapat diteruskan secara berkesan.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Perkembangan itu susulan pembatalan pelantikan 10 Exco Negeri Sembilan, yang mencetuskan keperluan untuk kerajaan negeri menyusun semula mekanisme pentadbiran bagi memastikan operasi kerajaan tidak terjejas.
Dalam perkembangan berkaitan, Barisan Nasional (BN) malam tadi mengadakan pertemuan bersama 25 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN-PN di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).
Pertemuan berkenaan dipercayai membincangkan perkembangan politik semasa di Negeri Sembilan, selain mencari pendekatan bagi menangani situasi berkaitan pentadbiran kerajaan negeri.
Jalaluddin berkata, apa juga keputusan atau pendekatan bakal diambil perlu mengambil kira kelancaran pentadbiran serta kepentingan rakyat sebagai perkara utama.
Beliau turut memberi gambaran struktur pentadbiran negeri masih boleh digerakkan menerusi mekanisme sedia ada sementara penyelesaian berkaitan kedudukan Exco diperhalusi.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
