SHAH ALAM – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengadakan sesi tabayyun bersama Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli bagi meneliti dakwaan mengaitkannya dengan amalan perdukunan, sihir, azimat serta New Age Movement (NAM).
Ketua Pengarah Jakim, Datuk Sirajuddin Suhaimee berkata, pertemuan itu turut disertai Mufti Wilayah Persekutuan, Panel Pakar Akidah (PPA) Jakim dan beberapa pihak berkaitan.
Katanya, sesi tersebut bertujuan mendapatkan penjelasan serta meneliti isu berkenaan berdasarkan disiplin ilmu akidah, pandangan autoriti agama dan kefahaman terhadap latar pemikiran NAM.
“Penekanan turut diberikan supaya sebarang kandungan atau pendekatan yang berpotensi menimbulkan kekeliruan terhadap akidah diperbetulkan dan dimurnikan.
“Pengisian berkaitan agama juga hendaklah sentiasa berasaskan disiplin ilmu Islam serta pandangan pihak berautoriti,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Menurut Sirajuddin, isu berkenaan telah diberi perhatian serius dan melalui penelitian menyeluruh dengan melibatkan pihak berautoriti yang bersesuaian.
Sebelum ini, Marhamah menafikan dakwaan mengaitkannya dengan penyebaran amalan perdukunan, sihir, azimat dan ajaran NAM.
Beliau turut memberikan tempoh 24 jam kepada pihak yang menerbitkan atau menyebarkan dakwaan tersebut untuk menarik balik penerbitan berkenaan, menghentikan penyebaran serta mengemukakan permohonan maaf dan pembetulan secara terbuka.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan

Dalam perkembangan sama, Jakim turut mengambil perhatian terhadap persoalan yang dibangkitkan masyarakat berhubung isu berkenaan, termasuk menerusi halaman Facebook atas nama Masyitah Ashari.
Sirajuddin berkata, Jakim kekal dengan pendirian menolak sebarang ajaran, fahaman, amalan atau pendekatan yang bercanggah dengan syarak dan prinsip akidah Islam.
Beliau pada masa sama mengingatkan masyarakat supaya tidak membuat kesimpulan hanya berdasarkan bahan yang tersebar tanpa pengesahan atau yang dikemukakan di luar konteks.
“Jakim akan terus melaksanakan amanah memelihara kesucian akidah umat Islam secara tegas, berhemah dan berasaskan ilmu serta autoriti agama,” katanya.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
