SEREMBAN – Polis mengesahkan kematian seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun selepas dipercayai terlibat dalam kejadian mendatangkan kecederaan di sebuah asrama sekolah di daerah Kuala Pilah, Negeri Sembilan.
Ketua Polis Negeri Sembilan dalam satu kenyataan memaklumkan mangsa telah dibawa ke Hospital Kuala Pilah sebelum disahkan meninggal dunia.
Hasil siasatan awal mendapati kejadian itu berlaku kira-kira jam 8 malam, Jumaat, di sebuah asrama sekolah di Kuala Pilah.
Susulan kejadian itu, polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan menahan seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun bagi membantu siasatan.
Menurut polis, siasatan dijalankan bagi meneliti semua fakta dan bukti untuk mengenal pasti punca serta motif sebenar kejadian.
Sementara itu, Pengerusi MARA, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki, menerusi hantaran di media sosial menzahirkan rasa sedih berhubung kematian pelajar berkenaan dan menggesa siasatan dijalankan secara segera dan telus.
“Pagi ini amat sedih dan terkesan dengan berita kematian seorang pelajar lelaki dari sebuah sekolah menengah di Kuala Pilah yang didakwa menjadi mangsa buli. Wajib disiasat segera, telus dan ambil tindakan tegas,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Za’ba, Abd Malek Abd Ghani, meminta semua pihak memberi ruang kepada polis menjalankan siasatan secara menyeluruh serta mengelakkan sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Beliau berkata pelbagai maklumat mengenai kejadian itu kini tersebar di media sosial, namun kesahihannya masih belum dapat dipastikan.
“Saya minta orang ramai bersabar kerana siasatan sudah bermula dan kita semua perlu berhati-hati dengan hantaran di media sosial,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Abd Malek berkata SMK Za’ba merupakan Sekolah Sukan Negeri (SSN) yang mempunyai kira-kira 315 pelajar dan terlibat dalam beberapa acara sukan termasuk bola sepak, hoki, sepak takraw, olahraga, bola jaring dan memanah.
Menurutnya, mangsa yang dikenali sebagai Muhammad Idlan Fareeq Shahril merupakan atlet muda sekolah dalam acara memanah.
Beliau turut memaklumkan bahawa setakat tahun ini tiada kes buli dilaporkan berlaku di asrama sekolah berkenaan.
Polis menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi, menyebarkan maklumat yang belum disahkan atau menularkannya sehingga boleh menjejaskan siasatan serta privasi keluarga pelajar yang terlibat.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
