KUALA LUMPUR – Pakar perlembagaan, Dr. Aziz Bari berpandangan isu yang didakwa mencetuskan krisis perlembagaan di Negeri Sembilan perlu ditangani berlandaskan prinsip dan semangat ajaran Islam sebagaimana diperuntukkan dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebing Tinggi itu, pendekatan sedemikian berpotensi mengelakkan sesuatu masalah daripada berkembang menjadi kekeliruan atau krisis berpanjangan.
Beliau berkata, pertimbangan berasaskan prinsip Islam wajar diberi perhatian khusus memandangkan Yamtuan Besar Negeri Sembilan adalah Ketua Agama Islam negeri sebagaimana dinyatakan dalam Perkara 5 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
“Pertimbangan sedemikian seharusnya menjadi prinsip utama kerana Yamtuan Besar Negeri Sembilan adalah Ketua Agama Islam negeri sebagaimana termaktub di bawah Perkara 5 Undang-Undang Tubuh Negeri Sembilan 1959,” katanya dalam kenyataan.
Aziz Bari turut merujuk Perkara 10 undang-undang tubuh berkenaan yang menurut beliau, turut menuntut kedudukan Yamtuan Besar dipandu oleh ajaran Islam.
Dalam kenyataan sama, Aziz Bari menegaskan bahawa kedudukan Yamtuan Besar sebagai Ketua Agama Islam perlu disertai penghormatan terhadap institusi berkenaan.
“Sebagai Ketua Agama, Yamtuan Besar Negeri Sembilan wajar dihormati dan tidak diaibkan,” katanya.
Beliau turut menyifatkan Yamtuan Besar sebagai “umarak” yang membawa imej dan kehormatan umat Islam di Negeri Sembilan.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Menurutnya, pertimbangan terhadap kedudukan tersebut penting ketika pihak-pihak berkaitan berusaha menangani persoalan yang dikaitkan dengan isu perlembagaan negeri.
Aziz Bari turut menarik perhatian kepada gelaran “Negeri Sembilan Darul Khusus”, yang menurutnya perlu difahami bukan hanya dari sudut pentadbiran atau aspek luaran agama.
Beliau berpandangan gelaran tersebut mempunyai dimensi kerohanian yang wajar diberikan perhatian.
“Gelaran ‘Darul Khusus’ untuk Negeri Sembilan amat wajar dimaknai dan diteliti kerana ia mengisyaratkan aspek kerohanian dan batin Islam itu sendiri,” katanya.
Beliau menjelaskan bahawa perkara itu, pada pandangannya, tidak seharusnya terbatas kepada aspek syariah atau bentuk luaran agama semata-mata, sebaliknya turut merangkumi dimensi yang lebih mendalam dalam pemahaman Islam.
Dalam konteks tersebut, beliau menggesa supaya Maqasid Syariah turut dipertimbangkan dalam mencari pendekatan terhadap persoalan yang sedang diperkatakan.
Aziz Bari turut berkata, masih terdapat ruang untuk pihak-pihak berkaitan di Negeri Sembilan, khususnya Undang Luak, mengambil kira pertimbangan tersebut.
Beliau juga menyeru supaya kepentingan umat Islam dan kehormatan agama Islam diberikan keutamaan dalam menangani isu berkenaan.
“Masih belum terlewat untuk pihak-pihak yang berkenaan di Negeri Sembilan, khususnya Undang Luak untuk menginsafi hakikat ini.
“Kepentingan umat Islam dan kehormatan agama Islam harus diutamakan sebelum terlambat,” katanya.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
