Oleh: Editorial ND
KEMELUT sedang berlaku di Negeri Sembilan bukan lagi sekadar perbezaan pandangan antara beberapa individu atau institusi. Ia telah berkembang menjadi pertikaian menyentuh kedudukan Yang di-Pertuan Besar, peranan Undang Yang Empat, fungsi Dewan Keadilan dan Undang, kedudukan Menteri Besar dan Exco serta perjalanan pentadbiran kerajaan negeri.
Perkembangan mutakhir menunjukkan wujud percanggahan pendirian mengenai kesahan Proklamasi 19 April 2026 berkaitan kedudukan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Pihak Undang Yang Empat dan beberapa institusi adat mempertahankan kedudukan serta kesahan proses yang mereka dakwa telah dilaksanakan, manakala pihak lain mempertikaikan kesahan proklamasi tersebut atas alasan berkaitan prosedur dan kedudukan penandatangan.
Pertikaian kemudiannya melebar kepada pentadbiran kerajaan negeri. Barisan Exco membuat pendirian proklamasi tersebut sah dan mengiktiraf Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar sebagai Yang di-Pertuan Besar baharu. Pada masa sama, Setiausaha Kerajaan Negeri tidak melaksanakan pewartaan atau tindakan susulan terhadap proklamasi tersebut selepas menerima nasihat Jabatan Peguam Negara terdapat isu kesahan dari sudut undang-undang.
Krisis turut menimbulkan pertikaian mengenai kedudukan barisan Exco apabila Tuanku Muhriz membatalkan pelantikan mereka, namun disanggah oleh Menteri Besar yang menyatakan Exco berkenaan kekal sah dan akan meneruskan tugas.
Lebih membimbangkan, pertikaian itu telah menyentuh jentera pentadbiran awam. Usaha menggantung tugas Setiausaha Kerajaan Negeri dan Penasihat Undang-Undang Negeri turut dipertikaikan oleh Jabatan Peguam Negara yang menyatakan kuasa berkaitan pelantikan dan penggantungan jawatan berkenaan terletak pada badan perkhidmatan yang ditetapkan oleh Undang-Undang Tubuh Negeri.
Dalam keadaan sedemikian, persoalan paling penting bukan lagi siapa patut menang, tetapi bagaimana Negeri Sembilan boleh keluar daripada kemelut ini tanpa kerosakan berpanjangan terhadap institusi Raja, adat, kerajaan negeri dan keyakinan rakyat.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Asas utama dalam mencari penyelesaian mestilah Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 serta prinsip setiap institusi hendaklah bertindak dalam ruang kuasa yang diberikan kepadanya.
Negeri Sembilan mempunyai struktur pemerintahan tersendiri. Undang Yang Empat mengetuai empat luak utama iaitu Sungai Ujong, Jelebu, Johol dan Rembau serta dan sistem pemerintahan negeri mempunyai hubungan rapat dengan Adat Perpatih.
Dalam pertikaian sekarang, terdapat sekurang-kurangnya beberapa persoalan perlu dipisahkan dengan jelas. Pertama, kuasa. Apakah bidang kuasa Undang Yang Empat berhubung pemilihan atau penamatan kedudukan Yang di-Pertuan Besar?
Kedua, tatacara. Jika sesuatu kuasa memang wujud, adakah segala syarat dan prosedur ditetapkan Undang-Undang Tubuh dipatuhi? Ketiga, kedudukan individu melaksanakan kuasa. Adakah semua pihak menandatangani atau melaksanakan proklamasi mempunyai kedudukan yang sah pada masa tindakan itu dibuat?
Keempat, kesan undang-undang. Jika sesuatu dokumen dipertikaikan kesahihannya, apakah kesannya terhadap tindakan kerajaan negeri, institusi adat dan pegawai awam? Inilah sebabnya pertikaian tidak wajar diselesaikan semata-mata melalui kenyataan media.
Malah, pihak yang berbeza pendirian sendiri mengakui isu kesahan dan kesan sesuatu proklamasi perlu ditentukan melalui proses perlembagaan dan undang-undang.
Pada masa sama, kedudukan Menteri Besar dan Exco juga perlu dilihat secara berasingan daripada pertikaian takhta. Kerajaan negeri mempunyai mandat rakyat untuk mentadbir, tetapi perlu bergerak dalam kerangka Undang-Undang Tubuh.
Begitu juga dengan Institusi Diraja dan Undang Yang Empat. Kedudukan mereka tidak boleh dinilai semata-mata berdasarkan pertikaian politik semasa, tetapi perlu dilihat berdasarkan sumber kuasa, adat dan peruntukan perlembagaan negeri. Dengan kata lain, setiap pihak mempunyai institusi dan fungsi masing-masing, tetapi tiada pihak boleh menganggap pendiriannya sendiri sebagai jawapan muktamad kepada persoalan yang masih dipertikaikan.
Dalam keadaan kemelut semakin bercabang, satu cadangan wajar dipertimbangkan ialah pendekatan kembali kepada yang asal. Maksudnya bukan memadam sejarah atau berpura tiada apa berlaku. Sebaliknya, semua pihak bersedia mengambil satu langkah ke belakang bagi menghentikan tindakan balas yang semakin mengembangkan krisis.
Cadangan ini boleh dimulakan dengan prinsip mudah: Tidak ada pihak perlu mengisytiharkan dirinya menang. Tidak ada pihak perlu dipaksa mengaku kalah. Semua pihak memberi ruang untuk keadaan dipulihkan, sementara persoalan undang-undang diselesaikan melalui saluran yang sah.
Dalam kerangka itu, beberapa langkah boleh dipertimbangkan. Pertama, Undang Yang Empat meredakan pertikaian mengenai takhta. Jika dipersetujui melalui mekanisme yang sah, Undang Yang Empat boleh mengambil langkah untuk menarik balik atau menggantung pelaksanaan keputusan berkaitan penurunan takhta dan penggantian Yang di-Pertuan Besar. Ini akan mengembalikan tumpuan kepada keadaan sebelum krisis menjadi semakin terbuka.
Kedua, Menteri Besar mengetepikan pelaksanaan proklamasi yang dipertikaikan. Beliau boleh mengambil pendekatan untuk tidak lagi bergantung kepada proklamasi yang menjadi pertikaian sebagai asas tindakan pentadbiran, sementara kesannya ditentukan melalui proses undang-undang yang sah.
Ini tidak semestinya bermakna Menteri Besar mengakui sesuatu pendirian itu salah. Ia boleh dilihat sebagai langkah sementara untuk mengelakkan pentadbiran negeri terus terperangkap dalam pertikaian perlembagaan.
Ketiga, kedudukan Exco dipulihkan untuk memastikan kerajaan boleh berfungsi. Jika dari sudut undang-undang dan perkenan yang diperlukan ia boleh dilakukan, kedudukan Exco dipulihkan kepada keadaan sebelum pertikaian memuncak.
Tujuannya bukan memberikan kemenangan kepada mana-mana kelompok, tetapi memastikan kerajaan negeri mempunyai sebuah badan pentadbiran yang boleh menjalankan urusan rakyat.
Keempat, Exco menghentikan tindakan yang boleh dianggap mencabar institusi lain. Mereka boleh menarik balik atau tidak meneruskan pendirian atau tindakan yang mempunyai kesan langsung terhadap kedudukan takhta dan institusi adat, tertakluk kepada nasihat undang-undang.
Dengan itu, Exco kembali kepada fungsi utamanya: mentadbir negeri. Kelima, semua pihak bersetuju tiada tindakan baharu diambil sementara proses pemulihan berjalan. Ini mungkin langkah paling penting.
Undang, Istana, Menteri Besar, Exco dan pegawai kerajaan perlu bersetuju tiada lagi tindakan unilateral yang boleh menambah pertikaian sehingga satu mekanisme penyelesaian dipersetujui. Pendekatan ini akan mengubah persoalan daripada “siapa yang mempunyai kuasa terakhir?” kepada “bagaimana kuasa masing-masing boleh digunakan supaya negeri kembali berfungsi?”
Jika benar semua pihak mahu mencari jalan keluar, beberapa langkah praktikal boleh dipertimbangkan. Pertama, deklarasi bersama untuk bertenang. Semua pihak hendaklah menghentikan kenyataan bersifat saling mencabar, khususnya kenyataan boleh menimbulkan persepsi satu institusi sedang cuba mengambil alih fungsi institusi lain.
Kedua, hentikan tindakan pentadbiran yang tidak perlu. Tiada pertukaran atau penggantungan pegawai kanan, perubahan struktur pentadbiran, pemecatan atau pelantikan baharu yang berkaitan secara langsung dengan pertikaian hendaklah dibuat kecuali benar-benar diperlukan dan mempunyai asas undang-undang yang jelas.
Ketiga, wujudkan meja rundingan institusi. Perbincangan tidak semestinya perlu menjadi rundingan politik. Ia boleh melibatkan wakil yang mempunyai autoriti daripada Istana, Undang Yang Empat, kerajaan negeri dan pihak perundangan yang berkaitan.
Matlamatnya bukan menentukan siapa betul atau salah di meja rundingan, tetapi mengenal pasti tindakan yang boleh dihentikan serta-merta untuk menstabilkan pentadbiran.
Keempat, hormati proses kehakiman. Jika terdapat perkara yang telah dibawa ke mahkamah, semua pihak hendaklah membenarkan mahkamah menentukan persoalan undang-undang berada dalam bidang kuasanya. DKU sendiri telah menyeru supaya semua pihak menghormati proses mahkamah dan tidak mengambil langkah memintas atau mengganggunya.
Kelima, asingkan urusan pentadbiran daripada pertikaian takhta. Sekolah, hospital, projek infrastruktur, kebajikan rakyat, pelaburan dan perkhidmatan awam tidak sepatutnya menjadi mangsa pertikaian institusi.
Keenam, selepas keadaan reda, adakan persidangan DUN dalam kerangka perlembagaan. Persidangan DUN boleh menjadi simbol institusi negeri telah kembali menjalankan fungsi masing-masing. Yang penting, segala tatacara berkaitan perasmian, perjalanan persidangan dan kehadiran institusi yang berkaitan mestilah terlebih dahulu dipastikan mempunyai asas undang-undang yang jelas.
Cadangan kembali kepada keadaan asal mempunyai nilai sebagai formula perdamaian, tetapi ia tidak boleh dianggap secara automatik menyelesaikan semua persoalan undang-undang.
Ada beberapa perkara yang perlu dijawab. Pertama, bolehkah sesuatu proklamasi yang telah dibuat ditarik balik secara unilateral? Jawapannya, bergantung kepada sifat dokumen tersebut, peruntukan Undang-Undang Tubuh dan proses digunakan untuk mengeluarkannya.
Kedua, jika sesuatu tindakan telah mempunyai kesan undang-undang, adakah ia boleh dianggap seolah-olah tidak pernah berlaku? Prinsip pentadbiran dan undang-undang biasanya memerlukan persoalan kesan tindakan terdahulu dijawab secara khusus.
Oleh itu, frasa “anggap tidak pernah berlaku” mungkin sesuai sebagai bahasa politik untuk berdamai, tetapi perlu diterjemahkan kepada mekanisme undang-undang yang sah.
Ketiga, apakah status pegawai yang telah digantung atau cuba ditamatkan tugasnya? Isu ini bukan sekadar soal kehendak kerajaan negeri. Jabatan Peguam Negara telah mengambil pendirian kuasa berkaitan pelantikan dan penggantungan Setiausaha Kerajaan Negeri serta Penasihat Undang-Undang Negeri tertakluk kepada badan perkhidmatan dinyatakan dalam Undang-Undang Tubuh.
Keempat, apakah kedudukan Undang yang dipertikaikan? Jika kesahan kedudukan seseorang Undang menjadi asas kepada kesahan sesuatu proklamasi, persoalan itu perlu ditentukan terlebih dahulu. Ini merupakan antara perkara yang disebut dalam pertikaian semasa.
Kelima, apakah kesan terhadap keputusan yang telah dibuat sepanjang tempoh krisis? Ini penting untuk kepastian undang-undang. Kontrak kerajaan, keputusan pentadbiran, arahan pegawai, pembayaran, pelantikan dan tindakan kerajaan yang dibuat sepanjang tempoh pertikaian tidak boleh dibiarkan berada dalam keadaan tidak pasti.
Sebab itu penyelesaian damai perlu mempunyai mekanisme pemulihan undang-undang, bukan sekadar persetujuan politik atau adat. Negeri Sembilan mempunyai sejarah pemerintahan dan adat yang unik. Keunikan itu juga membawa tanggungjawab besar kepada semua pihak memegang amanah.
Dalam keadaan sekarang, mungkin sudah tiba masanya semua pihak mengambil satu langkah ke belakang. Undang Yang Empat boleh bermuhasabah mengenai bagaimana pertikaian ini telah berkembang.
Kerajaan negeri juga boleh bermuhasabah mengenai batas kuasa pentadbiran. Institusi Diraja boleh memberi ruang kepada proses pemulihan. Exco pula boleh kembali menumpukan perhatian kepada tugas mentadbir negeri.
Tidak ada sesiapa rugi jika semua pihak memilih jalan damai. Malah, dalam sesuatu krisis institusi, ukuran kejayaan bukanlah siapa berjaya memaksa pihak lain mengalah. Ukuran lebih besar ialah sama ada institusi dapat keluar daripada krisis dengan kewibawaan masih terpelihara dan rakyat dapat kembali melihat kerajaan mereka berfungsi.
Atas sebab itu, cadangan kembali kepada yang asal wajar dilihat sebagai satu formula de-eskalasi, bukan sebagai penghakiman bahawa mana-mana pihak benar atau salah.
Jika boleh dicapai persetujuan yang sah semua tindakan mencetuskan pertikaian dihentikan, kedudukan institusi dipulihkan sementara isu undang-undang diselesaikan melalui saluran sewajarnya, maka negeri boleh kembali kepada perkara paling asas: Raja menjalankan fungsi perlembagaan, Undang menjalankan amanah adat, Menteri Besar mentadbir kerajaan, Exco menjalankan tanggungjawab masing-masing dan DUN melaksanakan fungsi perundangannya.
Akhirnya, rakyat tidak meminta pertelingkahan berpanjangan. Rakyat hanya mahu sebuah kerajaan boleh bekerja, sebuah negeri aman dan sebuah sistem pemerintahan dihormati.
Mungkin kerana itu, jalan terbaik untuk menjernihkan keadaan bukanlah mencari siapa paling kuat, tetapi meminta semua pihak berhenti seketika, bermuhasabah, mengakui setiap manusia dan institusi mempunyai kelemahan, serta bersedia membuka ruang saling memaafkan dan memulihkan keadaan.
Yang keruh dijernihkan. Yang retak dipulihkan. Yang telah berlaku dijadikan pengajaran, dan selepas itu, Negeri Sembilan kembali berjalan atas asas paling penting, Undang-Undang Tubuh, adat, institusi dan kepentingan rakyat.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
