SENDAYAN – Semangat kejiranan dan kerjasama komuniti terus diperkasakan dalam kalangan penduduk Davina Tiara Sendayan menerusi pelaksanaan aktiviti gotong-royong membersih serta mengecat kabin Kawasan Rukun Tetangga (KRT) baru-baru ini.
KRT Davina Tiara Sendayan yang telah mendapat kelulusan pendaftaran pada 20 Jun 2023 terus aktif menggerakkan pelbagai inisiatif komuniti bagi mewujudkan persekitaran kejiranan yang lebih harmoni, selamat dan bersatu padu.
Pengerusi KRT Davina Tiara Sendayan, Mohd Hafidzullah Mohamad Jamil, berkata semangat kerjasama dan penglibatan penduduk amat penting dalam memastikan setiap perancangan serta aktiviti KRT dapat dilaksanakan dengan baik dan memberi manfaat kepada komuniti setempat.
Dalam aktiviti berkenaan, penduduk berganding bahu membersihkan kawasan sekitar kabin selain melakukan kerja-kerja mengecat bagi menceriakan bangunan tersebut. Aktiviti secara bersama itu bukan sahaja dapat menambah baik kemudahan KRT, malah menjadi medan untuk mengeratkan silaturahim serta memupuk semangat saling membantu dalam kalangan penduduk.
Kabin KRT tersebut berjaya direalisasikan hasil sumbangan dan sokongan daripada penduduk Davina Tiara Sendayan, Matrix Concepts Holdings Berhad, Petronas Tiara Sendayan, Nur Bistro Tiara Sendayan dan Restaurant Tiara Thai.
Kabin ini akan berfungsi sebagai pusat sehenti komuniti KRT, antaranya sebagai tempat pertemuan penduduk, pusat penyelarasan aktiviti kejiranan, penyimpanan peralatan program, lokasi perbincangan jawatankuasa serta ruang untuk merancang program keselamatan, kebajikan, kesukarelawanan dan kemasyarakatan.
Dari semasa ke semasa, kabin tersebut akan terus diperkemaskan dan dinaik taraf secara berperingkat termasuk melalui pemasangan papan tanda KRT, hiasan di kawasan sekeliling serta penyediaan kelengkapan lain yang bersesuaian. Usaha ini diharap dapat menjadikan kabin lebih selesa, ceria dan sesuai digunakan sebagai pusat aktiviti komuniti.
Sejak penubuhannya, pelbagai aktiviti telah dan akan terus dilaksanakan dengan penglibatan penduduk setempat. KRT Davina Tiara Sendayan turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh penduduk yang sentiasa memberikan sokongan serta meluangkan masa menyertai setiap program yang dianjurkan.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Penghargaan turut diberikan kepada Jabatan Perpaduan Seremban yang sentiasa memberikan bantuan, bimbingan serta memudahkan pelbagai urusan berkaitan pengurusan dan pelaksanaan aktiviti KRT Davina Tiara Sendayan. Sokongan berterusan daripada pihak jabatan amat dihargai dalam membantu KRT memperkukuh peranan serta gerak kerja di peringkat komuniti.
Dengan sokongan semua pihak, KRT Davina Tiara Sendayan berharap kabin ini dapat menjadi simbol kebersamaan penduduk dan pemangkin kepada lebih banyak aktiviti, sekali gus menjadikan Davina Tiara Sendayan sebuah komuniti yang aktif, prihatin, selamat dan bersatu hati.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
