KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Razak menyambut dengan penuh kesyukuran dan rendah hati perkenan Yang di-Pertuan Agong XVII, Sultan Ibrahim terhadap pengampunan bersyarat yang membolehkan beliau menjalani baki hukuman melalui tahanan rumah.
Menurut peguam Najib daripada Tetuan Shafee & Co., bekas Perdana Menteri itu terlebih dahulu menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong atas perkenan Seri Paduka Baginda melaksanakan kuasa prerogatif pengampunan diraja terhadapnya.
Dalam kenyataan bagi pihak Najib, pasukan peguamnya berkata, pengampunan itu adalah pengampunan bersyarat dan pelaksanaan tahanan rumah tertakluk kepada syarat-syarat yang telah ditetapkan.
“Anak guam kami menerima keputusan Seri Paduka Baginda dengan penuh kesyukuran dan kerendahan hati,” menurut kenyataan itu.
Najib turut merakamkan penghargaan kepada Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan atas pertimbangan yang diberikan terhadap permohonan pengampunannya.
Bagaimanapun, menurut peguam, Najib masih berada di Penjara Kajang sementara menunggu pematuhan terhadap syarat yang ditetapkan, termasuk pembayaran denda RM50 juta kepada mahkamah.
Kenyataan itu menjelaskan, pelaksanaan tahanan rumah hanya akan dibuat selepas syarat-syarat berkenaan dipenuhi. Pada masa sama, Najib bersama pasukan peguamnya sedang meneliti syarat pengampunan tersebut serta implikasi praktikalnya.
Mengenai syarat pembayaran denda RM50 juta, peguam mendakwa sebahagian besar aset, akaun bank dan hartanah milik Najib masih tertakluk kepada perintah pembekuan serta tindakan penguatkuasaan kerajaan.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Keadaan itu, menurut mereka, menyebabkan pelupusan aset berkenaan tidak berada sepenuhnya dalam kawalan Najib pada masa ini.
“Keupayaan beliau untuk memenuhi syarat tersebut oleh itu bergantung, sebahagiannya, kepada perkara-perkara yang berada di luar kawalan beliau,” menurut kenyataan berkenaan.
Sehubungan itu, Najib kini mendapatkan nasihat undang-undang dan mempertimbangkan pilihan yang ada bagi menentukan kaedah terbaik untuk memenuhi syarat pembayaran berkenaan.
Dalam perkembangan sama, Najib turut menyampaikan penghargaan kepada mereka yang memberikan sokongan selepas pengumuman mengenai pengampunan bersyarat itu dibuat.
Beliau secara khusus merakamkan penghargaan kepada Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, selain ahli Majlis Tertinggi UMNO serta kepimpinan dan anggota UMNO dan Barisan Nasional di semua peringkat.
Menurut kenyataan itu, Najib amat tersentuh dengan sokongan yang diterimanya, termasuk tawaran bantuan daripada orang ramai bagi membolehkan beliau memenuhi syarat yang ditetapkan.
Namun, beliau menegaskan tidak mahu mana-mana pihak berasa terbeban atau terikat dengan sebarang kewajipan atas namanya.
“Beliau tetap amat berterima kasih kepada mereka yang, atas kerelaan sendiri dan mengikut kemampuan masing-masing, telah memilih untuk menghulurkan sokongan dan bantuan,” menurut kenyataan itu.
Najib turut menyampaikan ucapan terima kasih kepada ahli keluarga, sahabat handai serta semua pihak yang sentiasa mendoakannya.
Pada masa sama, beliau memohon supaya privasi keluarganya dihormati.
Tetuan Shafee & Co. berkata, pihaknya tidak akan memberikan sebarang ulasan lanjut mengenai perkara itu buat masa ini.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
