KUALA LUMPUR – Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman kini mengambil alih siasatan berhubung penularan video persembahan teater yang didakwa mempersendakan Rukun Negara serta mengandungi kenyataan berunsur perkauman.
Ketua Polis Kuala Lumpur Fadil Marsus mengesahkan laporan pertama mengenai kes itu dibuat di Balai Polis Jalan Tun Razak di bawah pentadbiran IPD Wangsa Maju pada 8.30 malam, semalam.
Katanya, laporan dibuat oleh seorang pengadu yang mengesan klip video persembahan pentas itu dimuat naik di sebuah akaun Instagram sebelum dipercayai dipadamkan dan dikongsikan semula oleh seorang pengguna Facebook.
“Siasatan kes ini akan dijalankan secara penuh oleh USJT Bukit Aman. Kita turut menjangkakan beberapa lagi laporan polis berhubung isu sama akan dibuat di seluruh negara dan kesemuanya akan dirujuk kepada laporan asal di Wangsa Maju,” katanya.
Paparan video berdurasi kira-kira 10 minit itu menunjukkan lima pelakon membacakan setiap prinsip Rukun Negara yang diselangi dengan sindiran sinis serta kenyataan yang boleh menyentuh sensitiviti perkauman.
Hasil penelitian awal mendapati kandungan video berkenaan berpotensi menimbulkan kegusaran awam, spekulasi dan menjejaskan ketenteraman dan keharmonian masyarakat.
Berdasarkan semakan, kumpulan teater fizikal antara budaya berkenaan ditubuhkan oleh seorang koreografer tempatan dan berpangkalan di Malaysia serta London, United Kingdom.
Klip berkenaan dipercayai merupakan rakaman pementasan teater yang pernah dipersembahkan pada 2018, sebelum dimuat naik semula oleh kumpulan itu sempena sambutan Hari Malaysia baru-baru ini.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
