Oleh: Editorial NA
“PONG pang! Pong pang!” Bisingnya bukan main.
Bunyi mercun papan memang begitu. Sekejap sahaja mampu memecahkan kesunyian, membuat orang menoleh, kanak-kanak berlari keluar rumah dan jiran-jiran menjenguk dari tingkap.
Tetapi, selepas beberapa letupan kecil, yang tinggal hanyalah asap. Asap pula tidak pernah lama. Ditiup angin, hilang entah ke mana.
Begitulah perumpamaan yang digunakan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor ketika menyindir tindakan DAP berhubung keputusan Setiausaha Agungnya, Anthony Loke Siew Fook untuk berundur daripada Kabinet.
Sanusi, yang juga Pengarah Pilihan Raya PAS, menyifatkan langkah itu sebagai “politik mercun papan” – bising seketika, tetapi akhirnya senyap juga.
Sindiran itu tentu sahaja tidak datang tanpa sebab. Selepas keputusan memberi ruang kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjalani baki hukuman di bawah tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028, DAP berdepan tekanan untuk menentukan pendirian.
Parti itu bermesyuarat hampir tiga jam. Tiga jam bukan sedikit. Cukup lama untuk minum beberapa cawan kopi, mengulang hujah yang sama beberapa kali dan mungkin bertanya: kalau kita keluar, siapa rugi; kalau kita kekal, siapa marah?
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Akhirnya keputusan dibuat. Loke menawarkan untuk meletakkan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan, manakala yang lain kekal termasuk Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming yang beriya-iya sebelum ini nak letak jawatan, terus senyap.
Maka lahirlah apa yang boleh dianggap sebagai formula politik yang cukup unik: seorang berundur, parti terus berada dalam kerajaan.
Loke menjelaskan keputusan itu sebagai tindak balas DAP terhadap keputusan berhubung Najib, sambil menegaskan DAP menghormati kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong. Pada masa sama beliau berkata, menteri dan timbalan menteri DAP yang lain akan terus berada dalam kerajaan demi kestabilan politik.
Di sinilah mercun papan Sanusi mula berbunyi.
“Pong pang, ping pang, lepas itu senyap.” Sindiran beliau bukan sekadar terhadap seorang bernama Loke, malah Sanusi mengaitkan tindakan itu dengan apa yang didakwanya sebagai corak “flip flop” DAP dalam membuat keputusan politik.
Menurutnya, sebelum ini juga pernah kedengaran kenyataan mengenai kemungkinan pemimpin DAP meletakkan jawatan, tetapi akhirnya tidak berlaku.
“Acah-acah tarik tali,” begitulah gambaran yang diberikan Sanusi.
Pedas, tetapi politik memang begitu. Kadang-kadang yang penting bukan apa yang dilakukan, namun bunyi yang terhasil sebelum sesuatu dilakukan.
Dalam politik, pengumuman boleh lebih besar daripada tindakan. Kenyataan boleh lebih panjang daripada surat peletakan jawatan, dan ancaman untuk meninggalkan kerajaan boleh menjadi lebih menarik perhatian daripada benar-benar meninggalkan kerajaan.
Namun, ada satu perkara yang perlu diakui. Loke memang sudah mengumumkan beliau akan berundur daripada Kabinet. Beliau dijadual menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Perdana Menteri pada 21 September. DAP pula tidak meninggalkan kerajaan.
Jadi, untuk mengatakan tidak berlaku apa-apa juga tidak tepat. Ada tindakan, tetapi tindakan itu terhad dan kerana ia terhad, persoalan politik yang lebih besar pun muncul.
Jika isu ini begitu serius sehingga DAP berasa keputusan tahanan rumah terhadap Najib sukar diterima, mengapa hanya seorang menteri yang berundur?
Jika DAP menganggap keputusan itu bercanggah dengan pendirian politiknya mengenai akauntabiliti dan 1MDB, mengapa parti masih mahu terus berada dalam kerajaan yang sama?
Jawapannya sudah diberikan Loke: DAP tidak mahu tindakan mereka mencetuskan ketidakstabilan politik atau membuka ruang kepada pihak tertentu mengambil kesempatan.
Itu pendirian DAP dan ia sah sebagai pertimbangan politik. Tetapi, politik juga mempunyai satu hukum yang mudah, setiap keputusan mempunyai harga.
Kekal dalam kerajaan bermakna DAP masih mempunyai kuasa dan tanggungjawab sebagai sebahagian daripada pentadbiran. Berundur pula bermakna kehilangan kedudukan dan pengaruh tertentu.
Maka, DAP memilih jalan tengah. Tidak keluar, tetapi tidak juga diam sepenuhnya.
Seorang menteri keluar sebagai tanda bantahan. Yang lain terus bekerja seperti biasa. Mungkin inilah yang Sanusi lihat sebagai “mercun papan”. Bukan kerana mercun itu tidak berbunyi. Ia memang berbunyi.
Cuma orang yang mendengar bunyinya mungkin tertanya-tanya, selepas itu apa terjadi?
Politik tidak boleh hanya bergantung pada bunyi. Rakyat mahu melihat kesan. Kalau marah, apa tindakannya? Kalau tidak setuju, sejauh mana penolakannya? Kalau prinsip begitu penting, sampai di mana prinsip itu sanggup dibayar?
Itulah soalan yang akan terus menghantui DAP. Lebih-lebih lagi apabila isu yang dipertikaikan bukan isu kecil. Ia menyentuh keputusan pengampunan diraja terhadap Najib dan kebenaran untuk menjalani baki hukuman di bawah tahanan rumah sehingga Ogos 2028, tertakluk kepada syarat pembayaran denda RM50 juta. Keputusan itu diumumkan selepas mesyuarat Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan.
DAP sendiri selama bertahun-tahun membina identiti politik yang kuat di sekitar isu akauntabiliti, rasuah dan 1MDB. Maka, apabila berlaku perkembangan yang menyentuh kes Najib, penyokong parti sudah tentu mahu melihat bagaimana prinsip itu diterjemahkan dalam tindakan. Di sinilah perbezaan antara slogan dengan kuasa menjadi nyata.
Ketika berada di luar kerajaan, prinsip lebih mudah dilaungkan. Apabila sudah berada di dalam kerajaan, setiap prinsip perlu berhadapan dengan nombor, majoriti, kestabilan dan kompromi.
Itulah wajah sebenar politik. Tidak hitam seluruhnya. Tidak putih seluruhnya. Kadangkala kelabu, sampai kita sendiri sukar membezakan mana prinsip dan mana strategi.
Sanusi memilih bahasa mercun papan iaitu bahasa rakyat yang mudah difahami. “Pong pang, pong pang”, bising sekejap. Kemudian senyap.
Tetapi DAP mungkin mempunyai tafsiran sendiri. Bagi mereka, bukan soal bising atau senyap. Ini soal bagaimana menunjukkan bantahan tanpa menjatuhkan kerajaan yang mereka sendiri masih anggap perlu dipertahankan.
Persoalannya, sejauh mana formula itu dapat meyakinkan penyokong mereka? Itu cerita lain, kerana politik bukan hanya mengenai apa yang pemimpin katakan di sidang media.
Politik juga mengenai apa yang penyokong rasakan selepas sidang media tamat dan di sinilah metafora mercun papan Sanusi menjadi menarik. Mercun papan memang menghasilkan bunyi, tetapi bunyi bukan ukuran kekuatan.
Kadang-kadang bunyi yang paling kuat datang daripada benda yang paling cepat habis. Yang tinggal selepas itu cuma asap. Namun, jangan pula dilupakan satu perkara, iaitu asap juga boleh menutup pandangan untuk seketika, dan dalam politik, selama pandangan masih kabur, semua pihak masih boleh mendakwa mereka sedang berada di landasan yang betul.
Sampai angin meniup asap itu pergi, ketika itulah barangkali rakyat dapat melihat siapa sebenarnya masih berdiri di situ, dan siapa yang sudah lama menghilang.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
