KAJANG – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah merakam keterangan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dan Ketua Setiausaha (KSU) kementerian itu berhubung siasatan membabitkan isu kelewatan bekalan baja di Kedah.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, keterangan Mohamad dirakam pada 16 Sept manakala KSU dirakam sehari sebelum itu.
Beliau berkata, setakat ini sebanyak 37 saksi telah dipanggil dan keterangan mereka dirakam bagi membantu siasatan yang dimulakan pada 26 Ogos berhubung pelantikan sebuah syarikat oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).
“Siasatan masih lagi berlangsung, namun sudah sampai ke penghujung dan dijangka dapat dimuktamadkan dalam tempoh seminggu atau dua minggu lagi,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.
Abd Halim berkata, SPRM juga akan mengambil keterangan beberapa orang saksi lagi bagi melengkapkan siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan berkaitan kesalahan menggunakan dokumen yang diketahui atau dipercayai palsu.
Beliau berkata, SPRM setakat ini percaya terdapat unsur jenayah dan isu berkaitan tadbir urus dalam kes berkenaan, namun lebih menumpukan kepada aspek kriminaliti.
“Kita ketepikan dahulu isu tadbir urus kerana kita fokus kepada aspek kriminaliti. Bagaimanapun, saya tidak boleh komen lebih daripada itu kerana penyiasatan masih lagi berlangsung,” katanya.
Sebelum ini, siasatan awal SPRM mendapati sebuah syarikat sepatutnya membekalkan 616,015 beg baja, namun sehingga September hanya 333,655 beg baja dibekalkan, iaitu kekurangan 282,360 beg.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Kertas siasatan dibuka susulan aduan yang diterima berhubung dakwaan kegagalan syarikat pembekal baja yang dilantik KPKM untuk membekal baja menerusi Skim Insentif Pengeluaran Padi (SIPP) di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA). – BERNAMA
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
