KUALA LUMPUR – Sebarang rundingan antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan diputuskan melalui saluran rasmi jawatankuasa pilihan raya kedua-dua gabungan itu.
Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perbincangan berkaitan kerjasama menghadapi pilihan raya negeri itu bukan dibuat secara individu, sebaliknya diserahkan kepada pemimpin yang diberi tanggungjawab menguruskan strategi pilihan raya gabungan berkenaan.
Menurut Perdana Menteri, Pengarah Pilihan Raya PH, Datuk Seri Amirudin Shari dan Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail akan mewakili gabungan itu dalam rundingan berkenaan.
“Itu memang jawatankuasa pilihan raya yang bincang seperti biasa. Kita ada Amirudin dan Saifuddin untuk bincang,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Rabu.
Anwar berkata demikian ketika ditanya sama ada perbincangan antara PH dan BN mengenai bentuk kerjasama bagi menghadapi PRN Melaka sudah dimulakan.
Perkembangan itu memberi gambaran sebarang keputusan berkaitan kerjasama antara kedua-dua gabungan akan melalui proses perbincangan di peringkat kepimpinan pilihan raya, termasuk perkara yang membabitkan agihan kerusi.
Sebelum ini, Saifuddin yang juga Naib Presiden PKR dilaporkan tidak menolak kemungkinan mengadakan pertemuan dengan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh bagi membincangkan kerjasama menjelang PRN berkenaan.
Bagaimanapun, pertemuan tersebut dijangka bergantung kepada kepulangan Ab. Rauf dari lawatan kerja di New Zealand.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Sementara itu, Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini memaklumkan gabungan berkenaan masih membuka ruang untuk rundingan dengan PH berhubung pengagihan kerusi bagi menghadapi PRN Melaka.
Menurut beliau, perbincangan termasuk kemungkinan pertukaran kawasan antara parti boleh dipertimbangkan sekiranya persetujuan dicapai secara jujur dan ikhlas.
Rundingan kerusi dijangka menjadi antara perkara utama yang perlu diselesaikan sekiranya PH dan BN mahu meneruskan kerjasama dalam menghadapi pilihan raya negeri berkenaan.
Bagaimanapun, setakat ini tiada keputusan rasmi mengenai bentuk kerjasama atau pembahagian kerusi antara kedua-dua gabungan diumumkan.
Dengan tanggungjawab rundingan kini diletakkan pada jawatankuasa pilihan raya, sebarang perkembangan lanjut mengenai kerjasama PH-BN di Melaka dijangka bergantung kepada hasil perbincangan antara wakil kedua-dua pihak.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
