KUALA TERENGGANU – Kontinjen Terengganu memahami cabaran yang dihadapi Selangor selaku tuan rumah Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026, namun percaya segala persiapan telah dilakukan sebaik mungkin bagi memastikan kelancaran temasya edisi ke-22 itu.
Timbalan Ketua Kontinjen (TDCM) Terengganu, Zuraida Md Noor berkata, setiap penganjur sudah pasti mahu memberikan yang terbaik demi memastikan penganjuran temasya sukan berprestij itu berjalan lancar serta meninggalkan rekod yang baik.
Menurutnya, berdasarkan maklum balas yang diterima, Terengganu memahami situasi semasa dan yakin pihak tuan rumah telah berusaha sedaya upaya bagi memastikan kontinjen negeri yang hadir bertanding dapat menjalani saingan dalam keadaan sebaik mungkin.
“Hasil maklum balas yang kami terima, kami memahami situasi yang berlaku dan percaya tuan rumah telah melakukan yang terbaik untuk memastikan setiap kontinjen negeri yang hadir bertanding tidak berdepan masalah, khususnya berkaitan venue pertandingan.
“Dalam masa sama, cabaran yang dihadapi tuan rumah turut memberi tempias kepada kontinjen negeri yang bertanding. Antaranya, pada edisi kali ini tidak diwujudkan perkampungan sukan, sekali gus memerlukan kami membuat percaturan sendiri dari segi logistik dan pengurusan atlet,” katanya.
Bagaimanapun, Zuraida berkata, perkara berkenaan telah ditangani sebaik mungkin oleh pengurusan kontinjen Terengganu supaya atlet dapat memberikan tumpuan sepenuhnya kepada persiapan dan pertandingan.

Katanya, sokongan pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan yang berperanan sebagai jabatan angkat kepada pasukan turut membantu memperkukuh pengurusan kontinjen Terengganu sepanjang temasya berlangsung.
“Badan-badan induk sukan di Terengganu juga memainkan peranan masing-masing dalam membantu kontinjen dan sokongan seperti ini sememangnya memberi nilai tambah kepada persiapan kami,” katanya.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Pada SUKMA Selangor 2026, kontinjen Terengganu menyertai 35 daripada keseluruhan 37 acara yang dipertandingkan dengan penyertaan seramai 799 atlet termasuk pengurusan pasukan.
Kontinjen itu menyasarkan sekurang-kurangnya 61 pingat emas bagi memastikan Terengganu berada dalam kelompok tiga terbaik keseluruhan.
Pada edisi terdahulu di SUKMA Sarawak 2024, Terengganu menduduki tangga kelima keseluruhan selepas mengumpul 41 pingat emas, 36 perak dan 47 gangsa.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
