IPOH – Mahkamah Tinggi dimaklumkan Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17, tidak digilis oleh kenderaan dipandu pegawai kanan polis DSP Mohd Nazri Abdul Razak seperti didakwa beberapa saksi.
Peguam M. Athimulan berkata, teori pelajar Tingkatan Lima itu “digilis” bercanggah dengan bukti forensik dan perubatan secara objektif.
Beliau berkata, pakar patologi forensik telah mengesahkan kecederaan mangsa tidak konsisten dengan keadaan seseorang yang digilis kenderaan kerana tiada tulang remuk, organ hancur atau kesan tayar pada badan atau pakaian si mati.
“Yang Arif, kami dengan hormatnya berhujah, bukti perubatan ini adalah fakta saintifik dan objektif serta tidak terdedah kepada kelemahan persepsi manusia. Ia secara langsung menyangkal dakwaan saksi.
“Pihak kami berhujah, sekiranya keterangan saksi bercanggah dengan bukti dikemukakan oleh pakar perubatan, maka keterangan mereka tidak boleh dipercayai,” katanya ketika berhujah di akhir kes pendakwaan di hadapan Hakim Datuk Bhupindar Singh Gucharan Singh Preet di sini.
Mohd Nazri, 46, berdepan pertuduhan membunuh Muhammad Zaharif Affendi, 17, berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati di sini, antara jam 11.55 tengah hari hingga jam 12.32 tengah hari pada 15 Disember 2023.
Beliau didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun atau maksimum 40 tahun, dan jika tidak dihukum mati hendaklah disebat tidak kurang 12 sebatan.
Athimulan berkata, ketiadaan kesan tayar pada baju dan tubuh si mati menyokong hujah pihak pembelaan, insiden itu satu tragedi, iaitu mangsa “tercampak” dari motosikal selepas berlaku perlanggaran, bukannya sengaja “digilis”, manakala kecederaan dialami konsisten dengan kesan terjatuh di atas jalan raya.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Katanya, bukti perubatan menolak sepenuhnya kemungkinan keterangan lisan secara langsung saksi yang melihat kejadian itu adalah benar dan oleh itu, pihak pembelaan memohon agar keterangan tersebut ditolak.
“Keterangan saksi itu telah terjejas akibat persepsi terhadap kejadian traumatik dan dipengaruhi impak media sosial,” katanya.
Peguam itu turut menyentuh mengenai implikasi kritikal yang timbul susulan kegagalan mengemukakan data “kotak hitam” kenderaan Perodua Ativa kerana ia penting untuk membina semula gambaran kejadian dan menentukan mens rea (niat jahat) di bawah Seksyen 300 Kanun Keseksaan.
“Tanpa data kotak hitam itu, pihak pendakwaan tidak dapat membuktikan sama ada tertuduh cuba membrek, melencongkan kenderaan atau cuba mengelakkan perlanggaran serta sama ada kelajuan kenderaan konsisten dengan keadaan hilang kawalan, bukannya tindakan disengajakan.
“Yang Arif, kami berhujah, perkara-perkara ini bukanlah lompang kecil dalam kes pendakwaan, sebaliknya ia adalah asas yang menjadi teras kepada teori pihak pendakwaan mengenai niat jahat kerana pertuduhan terhadap tertuduh ialah kesalahan paling serius di bawah Kanun Keseksaan, iaitu melakukan pembunuhan melalui tindakan sengaja menggunakan kenderaan,” katanya.
Athimulan, yang dibantu oleh peguam Datuk Mior Datuk Mior Faridalathrash Wahid dan Aiman Hakim Kamaruzzaman, akan menyambung hujah pembelaan esok.
Pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz dengan dibantu oleh Nasrul Hadi Abdul Ghani dan Monisha Pandey. – BERNAMA
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
