KUALA LUMPUR – Pihak pembelaan mewakili Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan memfailkan permohonan bagi mencabar pertuduhan tidak mengisytiharkan harta termasuk wang tunai RM14.7 juta dan jutaan wang tunai pelbagai mata wang asing serta lima ketul jongkong emas, yang dihadapi bekas Perdana Menteri itu.
Peguam Datuk Amer Hamzah Arshad yang mewakili Ahli Parlimen Bera itu berkata permohonan berkenaan akan difailkan selepas pihak pembelaan menerima dan meneliti kesemua dokumen berkaitan kes.
“Terdapat beberapa isu perundangan akan kami bangkitkan dan sudah tentu kami akan mencabar kewajaran serta kesahan pertuduhan tersebut. Kami akan memfailkan permohonan selepas meneliti dokumen diterima daripada pihak pendakwaan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas sebutan kes di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Suzana Hussin.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Ifa Sirrhu Samsudin memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihak pendakwaan telah menyerahkan sebahagian dokumen berkaitan kes kepada pihak pembelaan hari ini.
Beliau berkata sebanyak lima jilid dokumen di bawah Seksyen 36 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 diserahkan, antaranya dokumen sitaan serta beberapa dokumen perisytiharan harta milik Ismail Sabri.
“Oleh itu, pihak kami memohon satu tarikh sebutan ditetapkan oleh mahkamah bagi penyerahan baki dokumen dan senarai saksi,” katanya.
Amer Hamzah mengesahkan pihaknya telah menerima dokumen berkenaan, namun masih terdapat sebahagian dokumen yang belum diserahkan.
“Jika boleh, pihak kami memohon agar baki dokumen diserahkan kepada pihak pembelaan sebelum tarikh sebutan akan datang kerana mungkin terdapat permohonan yang akan kami failkan dan kami perlu meneliti dokumen tersebut terlebih dahulu,” katanya.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Mahkamah kemudian menetapkan 4 Dis ini untuk sebutan kes.
Ismail Sabri, 66, didakwa gagal mengisytiharkan harta iaitu wang tunai RM14,772,150, SGD6,132,350, ASD1,461,400, CHF3,000,000, EUR12,164,150, JPY363,000,000, GBP50,250, NZD44,600, AED34,750,000 dan AUD352,850 serta lima ketul jongkong emas Petak Suisse Fine Gold seberat 1 kilogram setiap satu selain seketul jongkong perak Petak Suisse Fine Silver seberat 100 gram dan sekeping syiling emas 999 Fine Gold seberat 5 gram dalam notis SPRM bertarikh 10 Jan 2025.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Ibu Pejabat SPRM, No 2, Lebuh Wawasan, Presint 7, Putrajaya pada 7 Feb 2025 mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda tidak lebih RM100,000, jika sabit kesalahan. – BERNAMA
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
