KUALA LUMPUR – Dasar pekerjaan dan persaraan di Malaysia perlu disesuaikan dengan perubahan demografi negara bagi membolehkan individu berusia 60 tahun ke atas yang masih sihat serta berkemampuan terus menyumbang kepada ekonomi.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, peningkatan jangka hayat rakyat menyebabkan usia persaraan tidak seharusnya lagi dilihat sebagai titik akhir kepada kehidupan produktif seseorang.
Menurut beliau, terdapat golongan berusia yang masih mempunyai keupayaan, pengalaman dan keinginan untuk bekerja, namun memerlukan bentuk pekerjaan yang lebih sesuai dengan keadaan serta kemampuan mereka.
Beliau berkata, pilihan seperti pekerjaan separuh masa, ekonomi gig atau kerjaya kedua boleh dipertimbangkan sebagai sebahagian daripada pendekatan baharu terhadap penyertaan tenaga kerja dalam kalangan warga berusia.
“Ada banyak warga emas kita yang masih ada kehendak dan kebolehan untuk terus menyumbang dalam negara.
“Untuk mereka, yang penting dari segi fleksibiliti yang kita benarkan… mungkin kita kena tengok macam mana hendak membolehkan mereka lebih banyak diterima,” katanya dalam temu bual Agenda AWANI sempena Persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa 2026 (ISWC 2026), semalam.
Amir Hamzah menjelaskan, pendekatan itu bukan bertujuan memaksa rakyat bekerja sehingga usia lebih lanjut, sebaliknya memberi ruang kepada mereka membuat pilihan berdasarkan keadaan kesihatan, keperluan kewangan dan keinginan untuk terus aktif.
Beliau berkata, perubahan dasar berkenaan semakin penting selepas Malaysia memasuki fasa negara menua pada 2021, dengan jumlah penduduk berusia semakin meningkat dari tahun ke tahun.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Pada 2026, kira-kira 2.9 juta penduduk atau 8.4 peratus daripada keseluruhan populasi Malaysia dianggarkan berumur 65 tahun ke atas, manakala negara dijangka mencapai status negara tua menjelang 2048.
“Pertukaran demografik ini adalah satu benda yang kita dah jangka dan kita harus menangani dengan perubahan juga dasar-dasar yang ada dalam negara untuk menyediakan negara menghadapi status negara tua,” katanya.
Jangka hayat semakin panjang
Perubahan demografi itu turut memberi implikasi besar terhadap sistem persaraan kerana seseorang yang berhenti bekerja pada usia 60 tahun berkemungkinan masih mempunyai tempoh kehidupan lebih dua dekad.
Berdasarkan data Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), lelaki yang mencapai usia 60 tahun pada 2025 dijangka hidup secara purata 18.8 tahun lagi, manakala wanita pula 21.6 tahun.
Keadaan itu, menurut Amir Hamzah, menjadikan perancangan kewangan selepas persaraan semakin penting kerana simpanan yang dikumpulkan ketika bekerja perlu bertahan untuk tempoh yang panjang.
Beliau berkata, isu kecukupan persaraan bukan sekadar berkaitan jumlah simpanan yang dimiliki seseorang ketika mencapai usia persaraan, tetapi turut melibatkan bagaimana simpanan berkenaan diurus supaya mampu menghasilkan pendapatan secara berterusan.
“Yang paling penting adalah kesedaran. Kita harus ada cukup simpanan untuk masa persaraan kerana zaman sekarang lain pada zaman ibu bapa kita,” katanya.
Data sehingga 31 Mei 2026 menunjukkan hanya 38.3 peratus ahli aktif formal warganegara Malaysia berusia antara 18 hingga 60 tahun mencapai tahap Simpanan Asas KWSP mengikut umur.
Di bawah Rangka Kerja Kecukupan Pendapatan Persaraan KWSP, sasaran simpanan pada usia 60 tahun dibahagikan kepada tiga tahap, iaitu Simpanan Asas sebanyak RM390,000, Simpanan Mencukupi RM650,000 dan Simpanan Dipertingkatkan RM1.3 juta.
Tidak semua simpanan perlu dikeluarkan sekaligus
Amir Hamzah turut menekankan perlunya perubahan dari segi kefahaman dan cara rakyat mengurus wang persaraan, termasuk tidak menganggap simpanan KWSP sebagai wang yang perlu dikeluarkan sepenuhnya sebaik mencapai umur pengeluaran.
Katanya, peningkatan jangka hayat menjadikan kaedah pengeluaran secara berperingkat lebih relevan bagi memastikan simpanan dapat digunakan untuk tempoh yang lebih panjang.
“Dulu bila sampai usia 55 tahun atau 60 tahun, semua (simpanan KWSP) dia bawa keluar. Memanglah nampak besar, kita boleh buat banyak perkara.
“Tapi kesedaran (perlu diterapkan) untuk simpan cukup kerana manalah tahu… boleh hidup 80 tahun, 100 tahun,” katanya.
KWSP juga menyediakan pilihan pembayaran secara bulanan menerusi i-Emas, membolehkan ahli menerima bayaran secara berkala untuk mengurus keperluan harian, manakala baki simpanan masih berpeluang menerima dividen tahunan.
Pada masa sama, kerajaan turut memberi perhatian kepada kelompok pekerja gig dan mereka yang bekerja sendiri supaya mempunyai akses lebih meluas kepada perlindungan serta tabungan persaraan.
RMK13 tekankan persediaan negara menua
Amir Hamzah berkata, Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) turut mengambil kira perubahan struktur umur penduduk melalui semakan peraturan berkaitan umur persaraan minimum dan penggajian semula, selain menggalakkan pelaksanaan aturan kerja yang lebih fleksibel.
Menurutnya, persediaan menuju masyarakat menua tidak boleh hanya tertumpu kepada isu pekerjaan dan simpanan, sebaliknya perlu merangkumi aspek kesihatan, penjagaan, perlindungan sosial serta kedudukan fiskal negara.
Perubahan struktur keluarga juga perlu diberikan perhatian kerana corak sokongan terhadap golongan berusia kini tidak semestinya sama seperti generasi terdahulu.
Dalam aspek kesihatan, beliau berkata persediaan menghadapi usia lanjut perlu dimulakan lebih awal melalui amalan gaya hidup sihat dan langkah pencegahan penyakit kronik.
Pada masa sama, kemampuan rakyat mendapatkan perlindungan insurans dan takaful kesihatan perlu diperkukuh bagi mengurangkan risiko beban kewangan apabila memasuki usia lanjut.
Amir Hamzah turut mengesahkan MediAsas, iaitu Pelan Asas Insurans/Takaful Perubatan dan Kesihatan (MHIT), kini berada dalam fasa rintis sebelum diperluaskan mulai Januari 2027.
Program rintis yang berlangsung dari akhir Julai hingga Oktober 2026 itu membabitkan enam syarikat insurans dan pengendali takaful serta hospital terpilih di Lembah Klang.
Menerusi inisiatif berkenaan, ahli KWSP juga boleh menggunakan simpanan daripada Akaun Sejahtera bagi membayar premium perlindungan perubatan yang berkaitan.
Peluasan platform i-Lindung untuk merangkumi perlindungan insurans dan takaful kesihatan menggunakan Akaun Sejahtera sebelum ini diumumkan di bawah Belanjawan 2026.
ISWC 2026 yang berlangsung pada 29 dan 30 September dengan tema “The Long Horizon” memberi tumpuan kepada isu kecukupan pendapatan persaraan, penjagaan kesihatan jangka panjang, penuaan aktif, pembentukan komuniti inklusif serta usaha memastikan golongan berusia terus mempunyai ruang untuk menyumbang kepada masyarakat.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
