GEORGE TOWN – Mahkamah Majistret di sini hari ini melepas dan membebaskan empat lelaki daripada pertuduhan bersubahat mencederakan seorang peguam dengan menggunakan besi, dua tahun lepas.
Majistret Nadratun Naim Mohd Saidi membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Koay Beng Ghee, 38, Teh Eng Tat, 38, Ng Weng Kooi, 43, dan Yeoh Ee Seong, 48, pada akhir kes pendakwaan.
Mahkamah juga mendapati wujud percanggahan dalam naratif kes pendakwaan sehingga gagal memenuhi elemen pertuduhan terhadap Koay, Teh dan Ng yang merupakan eksekutif pemasaran serta Yeoh, seorang ahli perniagaan.
“Pihak pendakwaan telah mengemukakan 42 ekshibit dan telah memanggil sembilan orang saksi memberi keterangan. Berdasarkan alasan, mendengar keterangan saksi pendakwaan, meneliti ekshibit yang telah dikemukakan dan membuat penilaian secara maksimum terhadap keseluruhan kes serta setelah membaca hujahan, mahkamah adalah dengan ini mendapati bahawa pihak pendakwaan telah gagal membuktikan kes prima facie.
“Oleh itu, mahkamah memerintahkan kesemua tertuduh dilepaskan dan dibebaskan daripada pertuduhan tanpa perlu dipanggil untuk membela diri,” katanya.
Pada 24 Dis 2024, Koay, Teh dan Ng didakwa bersubahat dengan Yeoh, menyebabkan kecederaan terhadap Beh Hong Shien, 37, menggunakan sebatang besi di tepi Jalan Persiaran Karpal Singh di sini pada 9.50 pagi, 22 Okt 2024.
Yeoh pula didakwa pada 27 Dis 2024 atas pertuduhan bersubahat dengan tiga tertuduh lain atas kesalahan sama.
Kesemua mereka dituduh mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 109 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman-hukuman itu, jika sabit kesalahan.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya M. Darrshini. Peguam Muhamad Asri Abdul Hamid mewakili Koay, Teh dan Ng, manakala Datuk Suhaimi Ibrahim, Mohd Khairul Fairuz dan Marcia Geraldine Lopez bertindak bagi pihak Yeoh. – BERNAMA
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
