BANGI – Pakatan Harapan (PH) menekankan prinsip kestabilan politik dan kepentingan rakyat dalam menjalinkan sebarang bentuk kerjasama politik dengan mana-mana parti atau gabungan, kata Ahli Majlis Presiden PH Datuk Seri Amirudin Shari.
Beliau yang juga Naib Presiden PKR itu berkata pihaknya sentiasa terbuka dalam menjalinkan kerjasama atau sebarang persefahaman dengan parti atau gabungan yang menerima pakai dua prinsip berkenaan.
“Kerjasama dengan mana-mana pihak bukan sahaja dengan Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) pun boleh difikirkan kalau akhirnya saya sebut tadi, prinsipnya adalah untuk kestabilan politik dan kebaikan rakyat,” katanya.
Ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Ekologi Manusia II (HEIC-II) 2026 di sini hari ini, Menteri Besar Selangor itu turut menafikan yang PH Selangor telah mempunyai kerjasama dengan Bersatu dan menegaskan tiada perbincangan atau ketetapan dibuat dengan parti itu.
Beliau berkata segala bentuk kerjasama perlu diteliti secara rasional pada peringkat pusat dengan mengambil kira faktor tertentu meliputi aspek tempoh untuk diadakan pilihan raya dan lain-lain perkara.
“Sudah pasti saya tidak boleh membuat keputusan sendirian kerana saya turut bertanggungjawab dengan kepimpinan pada peringkat pusat.
“Jadi kalau ada perbincangan (pada peringkat PH Selangor) dan saya akan bawakan ke peringkat pusat. Yang ada baru idea luar ataupun pandangan, dan ini mungkin disebabkan oleh beberapa penjajaran politik pada peringkat nasional ataupun peringkat Pilihan Raya Negeri yang berlaku,” katanya.
Pada Jumaat lepas, media melaporkan PH Selangor dilihat tidak menolak kemungkinan gabungan itu bekerjasama dengan Bersatu terutama di negeri ini.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Jajaran itu dipercayai untuk memastikan kedua-dua parti berkenaan terus relevan dan kuat dalam menghadapi pilihan raya umum (PRU) akan datang termasuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka. – BERNAMA
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
