KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung AMANAH, Faiz Fadzil menyifatkan kenyataan Exco Pemuda UMNO, Wan Muhammad Zuhir Wan Ghazali, yang mendakwa tahlil bukan sebahagian daripada syariat Islam sebagai berpotensi mengguris perasaan orang Melayu kerana amalan itu telah lama menjadi tradisi masyarakat Melayu Islam.
Menurut beliau, walaupun amalan tahlil masih menjadi perbahasan dalam kalangan ilmuwan Islam, ia dipenuhi dengan bacaan al-Quran, selawat, zikir dan doa yang tidak bercanggah dengan syarak.
Faiz berkata, sama ada tahlil dianggap sebagai syariat atau sebaliknya, perkara itu tidak seharusnya dijadikan alasan untuk mana-mana pihak mempermainkan atau memanipulasikannya bagi tujuan politik.
Beliau turut menyifatkan tindakan menyindir ahli politik, khususnya bukan Islam, seolah mereka turut mengamalkan tahlil sebagai sesuatu yang tidak wajar kerana berpotensi menyemarakkan sentimen perkauman.
“Amalan orang Melayu tidak seharusnya dijadikan bahan ejekan atau sindiran terhadap orang bukan Melayu, apatah lagi apabila ia melibatkan amalan dalam Islam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Faiz turut mempersoalkan sikap PAS yang didakwanya tidak memberikan sebarang reaksi terhadap kenyataan Exco Pemuda UMNO berhubung isu tersebut.
Beliau mendakwa keadaan itu bertentangan dengan naratif penyatuan umat yang sering dibawa, selain mengaitkannya dengan pendirian PAS ketika bersama Perikatan Nasional (PN) berhubung isu peningkatan cabutan khas judi daripada lapan kepada 22 kali setahun.
Sehubungan itu, Faiz menggesa Wan Muhammad Zuhir menarik balik kenyataan berkenaan dan memohon maaf atas keterlanjuran kenyataannya mengenai amalan tahlil.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
