SEREMBAN – Polis Diraja Malaysia (PDRM) Negeri Sembilan menerima 87 laporan polis dan membuka 23 kertas siasatan berhubung kesalahan pilihan raya sepanjang tempoh berkempen bermula 18 Julai hingga semalam, bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16.
Ketua Polis Negeri Sembilan DCP Datuk Alzafny Ahmad berkata bagi tempoh sama, sebanyak 761 daripada 787 permohonan permit bagi penganjuran ceramah dan aktiviti politik diluluskan.
“Kesemua program dan aktiviti politik yang diadakan dipantau bagi memastikan penganjurannya mematuhi undang-undang serta tidak menjejaskan keselamatan dan ketenteraman awam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Alzafny berkata pihaknya terus mempertingkatkan tahap kesiapsiagaan, pematuhan dan penguatkuasaan secara menyeluruh dan sebarang pelanggaran undang-undang akan diambil tindakan tegas, adil serta berintegriti tanpa kompromi.
Sehubungan dengan itu, beliau menyeru orang ramai agar terus mematuhi undang-undang, menghormati proses demokrasi dan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis bagi memastikan pilihan raya berlangsung dalam keadaan aman, harmoni dan teratur. – BERNAMA
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
