Pemegang Kad UNHCR Masih Dianggap PATI, Tertakluk Kepada Undang-undang Negara – JIM

KUALA LUMPUR – Pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) yang sah masih dianggap sebagai pendatang tanpa izin namun dikecualikan daripada pendakwaan di bawah Akta Imigresen 1959/63 bagi kesalahan tinggal melebihi tempoh dibenarkan dan memasuki negara tanpa dokumen sah.

Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam kenyataan kepada Bernama memaklumkan selain pengecualian itu, pemegang kad UNHCR tetap tertakluk kepada undang-undang negara.

JIM turut menegaskan bahawa orang ramai tidak seharusnya mengambil tindakan sendiri terhadap warga asing kerana ia boleh menimbulkan implikasi dari sudut keselamatan, ketenteraman awam dan perundangan.

“JIM memahami bahawa isu ini menimbulkan pelbagai reaksi dan kebimbangan dalam kalangan masyarakat.

“Ingin ditegaskan bahawa sebarang tindakan berkaitan warga asing hendaklah diserahkan kepada pihak berkuasa yang bertanggungjawab dan dilaksanakan mengikut lunas undang-undang,” menurut kenyataan itu.

Jabatan itu turut menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai mana-mana warga asing yang disyaki melanggar undang-undang imigresen supaya menyalurkannya kepada JIM atau agensi penguat kuasa berkaitan bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil mengikut peruntukan undang-undang.

Media sebelum ini melaporkan sekumpulan 113 pelarian Rohingya tiba di ibu negara pada awal pagi Isnin lepas dengan menaiki tiga bas selepas diusir dari penempatan mereka di Pulau Pinang.

Mereka mendirikan khemah di hadapan pejabat UNHCR sebagai penempatan sementara sebelum ditempatkan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur bagi tujuan dokumentasi dan kemudian dipindahkan secara berperingkat ke tiga negeri dengan penyelarasan badan bukan kerajaan serta UNHCR. – BERNAMA

Telegram: Nasional Daily

Facebook: Nasional Daily

TikTok: NasionalDaily

Whatsapp: NasionalDaily.com

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *