KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (TH) menegaskan langkah penstrukturan semula kewangan yang dilaksanakan pada 2018 menjadi titik penting dalam usaha menyelamatkan kedudukan institusi itu daripada risiko kewangan lebih serius, selain memastikan kepentingan lebih sembilan juta pendeposit terus dilindungi.
Menurut TH, tindakan memindahkan sebahagian aset kepada syarikat tujuan khas (SPV) milik penuh kerajaan, Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB), merupakan sebahagian daripada pelan pemulihan yang dirangka bagi menangani tekanan kewangan yang dihadapi ketika itu.
Dalam satu kenyataan, TH menjelaskan, pelan penstrukturan itu dilaksanakan selepas mendapati wujud jurang besar antara nilai aset dan liabiliti institusi berkenaan yang semakin melebar sehingga menimbulkan kebimbangan terhadap keupayaannya memenuhi tanggungjawab kewangan kepada pendeposit.
“Pelan penstrukturan semula pada tahun 2018 bertujuan menangani kedudukan defisit kewangan TH yang memerlukan tindakan penyelamatan kewangan segera oleh kerajaan ketika itu bagi melindungi institusi ini daripada risiko insolvensi,” menurut kenyataan tersebut.
TH berkata, berdasarkan rekod kewangan pada penghujung 2017, jurang antara aset dan liabiliti yang dihadapi terus meningkat sehingga melebihi RM10 bilion pada akhir tahun 2018.
Situasi tersebut, jika tidak ditangani segera, berpotensi memberi kesan besar terhadap keupayaan TH untuk mengisytiharkan agihan keuntungan kepada pendeposit seperti diperuntukkan di bawah Akta Tabung Haji.
Selain itu, TH memberi gambaran, kegagalan menangani isu berkenaan boleh mencetuskan tekanan kepada sistem kewangan negara sekiranya berlaku pengeluaran deposit secara besar-besaran dalam tempoh singkat.
Menurut TH, keadaan tersebut boleh menyebabkan institusi berkenaan terpaksa menjual aset pada harga tidak menguntungkan bagi memenuhi permintaan tunai yang tinggi daripada pendeposit.
“Tanpa langkah penyelamatan kewangan oleh kerajaan pada masa itu, ia berpotensi mencetuskan tekanan terhadap pasaran kewangan apabila TH mungkin perlu melupuskan aset pada harga terdesak untuk memenuhi pengeluaran tunai yang besar dan tidak terkawal,” jelas kenyataan itu.
Bagi menangani cabaran kewangan tersebut, UJSB telah mengambil alih aset berkaitan TH bernilai RM9.7 bilion dengan jumlah transaksi sebanyak RM19.9 bilion.
Langkah itu bertujuan menutup jurang kewangan yang wujud dan membolehkan TH meneruskan operasi dengan kedudukan kewangan lebih tersusun, termasuk membolehkan agihan keuntungan bagi tahun kewangan 2018 diumumkan kepada pendeposit.
Bagaimanapun, TH menjelaskan pemindahan aset berkenaan tidak bermakna institusi itu diwajibkan untuk membeli semula semua aset tersebut pada masa hadapan.
Sebaliknya, TH diberikan Right of First Refusal (Hak Keutamaan untuk Menolak) yang membolehkan institusi berkenaan diberikan peluang pertama sekiranya UJSB ingin menjual aset tersebut kepada pihak lain.
“TH tidak mempunyai sebarang kewajipan untuk membeli semula aset yang dipindahkan. Hak tersebut hanya memberi keutamaan kepada TH sekiranya UJSB memutuskan untuk menjual aset berkenaan pada masa akan datang,” katanya.
Dalam perkembangan terkini, TH memaklumkan beberapa aset telah dibeli semula selepas dinilai mempunyai potensi untuk memberi manfaat kepada portfolio pelaburan institusi tersebut.
Antaranya, termasuk pembelian semula tanah di Tun Razak Exchange (TRX) bernilai RM270 juta berbanding harga asal RM400 juta ketika pemindahan kepada UJSB.
Selain itu, TH turut memperoleh semula aset ladang kelapa sawit milik UJ Estates (Holdings) Sdn. Bhd. pada harga RM695 juta berbanding nilai RM800 juta ketika ia dijual kepada UJSB.
Menurut TH, keputusan mengambil semula aset dibuat secara selektif berdasarkan pertimbangan nilai pelaburan dan manfaat jangka panjang kepada pendeposit.
“Transaksi ini menunjukkan TH hanya akan mengambil alih semula aset yang mampu memberikan nilai tambah kepada portfolio pelaburan serta menjaga kepentingan pendeposit,” katanya.
TH turut memaklumkan pelan pemulihan yang dilaksanakan berjaya menangani kerugian pelaburan berjumlah RM12.6 bilion.
Daripada jumlah tersebut, kira-kira RM10 bilion diselesaikan menerusi pelan penstrukturan aset pada 2018, manakala baki RM2.6 bilion lagi ditangani secara berperingkat sehingga penghujung tahun 2025.
Menurut TH, langkah pemulihan tersebut turut memberi kesan positif terhadap prestasi agihan keuntungan kepada pendeposit.
Kadar agihan keuntungan meningkat daripada 1.25 peratus pada 2018 kepada 3.25 peratus pada 2024, sebelum meningkat lagi kepada 3.50 peratus pada 2025.
TH berkata, peningkatan tersebut dicapai selepas mengambil kira proses pemulihan termasuk pelarasan nilai aset bermasalah yang tidak dipindahkan kepada UJSB pada penghujung 2018.
Selain aspek kewangan, TH turut memaklumkan usaha memperkukuhkan tadbir urus terus menjadi keutamaan selepas penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan pengurusan institusi tersebut.
Menurut TH, sebanyak 75 peratus daripada syor RCI telah dilaksanakan sejak 2023 sebagai sebahagian daripada langkah mempertingkatkan sistem kawalan dalaman, ketelusan serta pengurusan risiko.
“TH kini kembali berada pada landasan yang lebih kukuh dan mampan melalui pelaksanaan pelan strategik, pembaharuan institusi serta pengukuhan tadbir urus yang lebih baik,” katanya.
TH menegaskan komitmennya untuk terus menjaga kepentingan pendeposit, memperkukuh keyakinan masyarakat serta memastikan institusi itu terus beroperasi dengan prinsip integriti, amanah dan tanggungjawab.
Menurut TH, pengalaman menghadapi cabaran kewangan sebelum ini menjadi pengajaran penting untuk memperbaiki sistem pengurusan dan memastikan institusi berkenaan kekal berdaya tahan dalam menghadapi perubahan ekonomi serta cabaran pelaburan pada masa hadapan.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L
