Dari Meja Editorial ND
NAHAS helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) di Long Lellang, Sarawak yang meragut lima nyawa, termasuk empat petugas Kementerian Kesihatan (KKM), wajar dilihat bukan sekadar sebagai satu tragedi penerbangan, tetapi juga sebagai titik penting untuk kerajaan menilai semula keseluruhan model penyampaian perkhidmatan kesihatan udara di kawasan pedalaman.
Pada hemah penulis, persoalan utama perlu diberi perhatian bukanlah semata-mata sama ada helikopter yang terlibat dalam nahas itu masih layak terbang atau sebaliknya.
Soalan lebih besar ialah sama ada pesawat digunakan untuk membawa doktor, penolong pegawai perubatan dan jururawat ke kawasan pedalaman benar-benar menepati tahap keselamatan, keupayaan dan teknologi sewajarnya pada tahun 2026.
Helikopter yang terhempas berhampiran Long Lellang STOLport pada 8 September lalu ialah BO-105S (CBS-5), nombor pendaftaran 9M-LLF, yang dikendalikan oleh Layang Layang Aerospace Sdn. Bhd.
Rekod penerbangan menunjukkan pesawat berkenaan dibina di Jerman pada 1991, menjadikannya kira-kira 35 tahun usia ketika nahas berlaku.
Lebih penting, pesawat itu bukan sekadar baru digunakan oleh KKM. Ia dilaporkan telah digunakan untuk membawa petugas Kementerian Kesihatan di Sarawak sejak 2009, bermakna ia sudah kira-kira 17 tahun menyokong operasi kesihatan udara di negeri itu sebelum nahas Long Lellang.
Dalam konteks ini, perbincangan mengenai usia pesawat tidak seharusnya dilihat sebagai usaha menyalahkan usia semata-mata. Pesawat berusia bukan secara automatik bermakna tidak selamat kerana tahap keselamatan bergantung kepada penyelenggaraan, rekod komponen, pemeriksaan berkala, jam penerbangan, pematuhan peraturan serta keadaan sebenar pesawat.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Namun, usia tetap merupakan salah satu faktor yang wajar dinilai secara objektif apabila kerajaan menyemak semula kontrak dan spesifikasi perkhidmatan.
Lebih-lebih lagi, model BO-105 sendiri merupakan reka bentuk yang sudah berusia beberapa dekad. Pengeluaran model itu berakhir pada 2001.
Perkhidmatan Doktor Udara bukanlah penerbangan komersial biasa. Ia adalah perkhidmatan kritikal yang membawa golongan profesional kesihatan ke kawasan sukar dicapai melalui jalan darat.
FDS diperkenalkan di Sarawak pada 1973 dan sehingga kini menjadi antara mekanisme penting untuk membawa perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat di kawasan pedalaman.
KKM menyatakan terdapat 97 lokaliti memerlukan perkhidmatan FDS di Sarawak, khususnya di kawasan Kapit, Miri dan Limbang. Lawatan dibuat secara berkala, lazimnya sebulan sekali atau dua bulan sekali bergantung kepada keupayaan operasi.
Maknanya, apabila sebuah helikopter FDS berlepas, apa yang dibawa bukan sekadar penumpang. Ia membawa doktor, jururawat, penolong pegawai perubatan, ubat-ubatan, peralatan perubatan dan dalam keadaan tertentu, harapan penduduk pedalaman yang tidak mempunyai pilihan lain.
Sebab itu aspek keselamatan tidak boleh diletakkan sebagai salah satu daripada banyak pertimbangan kontrak semata-mata. Ia perlu menjadi pertimbangan paling utama.
Persoalan kos juga wajar dibuka kepada penelitian awam. Rekod korporat Hubline Berhad menunjukkan anak syarikatnya, Layang Layang Aerospace Sdn. Bhd., pernah menerima kontrak daripada Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak bagi menyediakan pesawat dan helikopter untuk FDS, perkhidmatan pemindahan perubatan (medevac) serta perkhidmatan kesihatan sampingan bernilai RM63,218,400, termasuk 6 peratus SST.
Kontrak itu berlangsung selama 48 bulan, dari 1 Januari 2021 hingga 31 Disember 2024. Jika dibahagikan secara purata, nilai tersebut bersamaan kira-kira RM1.32 juta sebulan, atau sekitar RM15.8 juta setahun.
Bagaimanapun, angka ini perlu dibaca dengan berhati-hati. RM63.2 juta itu bukan kadar sewa sebuah helikopter semata-mata. Ia merupakan nilai keseluruhan kontrak yang merangkumi pesawat dan helikopter untuk FDS, medevac serta perkhidmatan kesihatan berkaitan.

Dalam satu lagi rekod audit yang dilaporkan pada 2023, kadar digunakan bagi perkhidmatan penerbangan MEDEVAC ialah RM6,388 sejam. Jumlah ini juga tidak wajar dianggap sebagai kadar sewaan khusus bagi helikopter FDS kerana ia merujuk kepada perkhidmatan pemindahan kecemasan perubatan.
Justeru, sehingga kerajaan mendedahkan butiran kontrak semasa, adalah lebih tepat untuk mengatakan nilai kontrak FDS/medevac yang terakhir diketahui secara terbuka ialah RM63.2 juta bagi tempoh 2021-2024, dan bukannya mendakwa jumlah itu merupakan kadar sewa helikopter yang sedang dibayar kerajaan pada 2026. Ini satu perkara yang juga wajar dijelaskan oleh KKM kepada rakyat.
Pada pandangan penulis, selepas tragedi Long Lellang, kerajaan tidak sepatutnya hanya bertanya sama ada kontraktor mematuhi syarat kontrak. Kerajaan perlu bertanya sama ada syarat kontrak itu sendiri masih memadai.
Jika sebuah kontrak membenarkan penggunaan pesawat yang berusia puluhan tahun, persoalannya bukan sekadar sama ada pesawat itu lulus pemeriksaan teknikal.
Persoalan yang lebih besar ialah: adakah itu pilihan terbaik yang boleh diberikan kerajaan kepada petugas kesihatan yang perlu terbang ke kawasan pedalaman?
KKM sendiri tidak memiliki aset helikopter untuk FDS dan perkhidmatan itu dilaksanakan melalui kaedah sewaan kontrak yang turut merangkumi penyelenggaraan.
Model sebegini mempunyai kelebihan kerana kerajaan tidak perlu menanggung sendiri kos pemilikan, penyelenggaraan dan pengurusan keseluruhan aset penerbangan.
Tetapi ia juga membawa satu tanggungjawab besar kepada kerajaan sebagai pihak yang membayar.
Jika kerajaan membayar untuk mendapatkan perkhidmatan penerbangan, kerajaan mesti menetapkan spesifikasi yang benar-benar mengutamakan keselamatan.
Bukan sekadar “boleh terbang”. Sebaliknya, pesawat itu perlu sesuai dengan misi, lokasi, keadaan cuaca, bentuk muka bumi, jarak penerbangan, kapasiti muatan dan tahap risiko operasi.
Pada hemah penulis, sudah tiba masanya KKM mempertimbangkan pendekatan kontrak yang lebih dinamik.
Salah satu pilihan ialah kontrak perkhidmatan dinilai secara menyeluruh setiap lima tahun, bukan hanya dari segi harga, tetapi juga umur dan jenis pesawat, teknologi avionik, rekod penyelenggaraan, jam penerbangan, prestasi keselamatan, latihan kru serta keupayaan pesawat untuk melaksanakan misi FDS.
Tempoh lima tahun itu tidak semestinya bermaksud setiap lima tahun semua helikopter mesti dibuang dan diganti. Sebaliknya, ia boleh menjadi satu “safety reset” untuk kerajaan menilai sama ada aset yang digunakan masih paling sesuai atau sudah tiba masanya digantikan dengan pesawat yang lebih moden.
Ini juga boleh dimasukkan sebagai syarat dalam tender baharu. Misalnya, kerajaan boleh menetapkan had usia maksimum kerangka pesawat bagi operasi tertentu, keperluan sistem avionik moden, peralatan komunikasi dan navigasi yang bersesuaian, sistem pengesanan kecemasan, rekod penyelenggaraan yang telus serta keperluan penggantian aset secara berperingkat.
Jika syarikat mahu menggunakan pesawat lama, syarikat itu perlu membuktikan mengapa pesawat tersebut masih lebih selamat dan lebih berbaloi berbanding pesawat yang lebih baharu.
Dalam kontrak yang melibatkan nyawa manusia, harga paling rendah tidak semestinya tawaran paling baik. Kerajaan boleh menjimatkan beberapa juta ringgit melalui kontrak yang lebih murah, tetapi penjimatan itu menjadi tidak bermakna apabila berlaku kemalangan yang meragut nyawa petugas profesional.
Empat petugas KKM yang terkorban dalam nahas Long Lellang ialah manusia yang mempunyai kepakaran dan tanggungjawab besar kepada masyarakat. Mereka bukan penumpang biasa. Mereka adalah tenaga kerja yang dihantar kerajaan ke kawasan pedalaman untuk memastikan rakyat yang jauh daripada hospital turut mendapat rawatan.
Maka, tahap keselamatan pengangkutan mereka sepatutnya setara dengan nilai tanggungjawab yang pikul.
Dalam hal ini, pandangan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) bahawa kerajaan perlu memastikan semua bentuk pengangkutan yang membawa petugas kesihatan, termasuk pesawat, ambulans dan bot memenuhi piawaian keselamatan tertinggi adalah sesuatu yang wajar diberi perhatian.
Sudah tentu punca sebenar nahas Long Lellang masih perlu menunggu laporan rasmi Biro Siasatan Kemalangan Udara (AAIB).
Kerajaan juga tidak wajar membuat kesimpulan bahawa usia pesawat menjadi punca nahas sebelum siasatan selesai. Pihak berkuasa sendiri menegaskan bahawa terlalu awal untuk membuat kesimpulan mengenai punca kejadian, termasuk kemungkinan faktor cuaca.
Namun, menunggu laporan nahas tidak bermaksud kerajaan perlu menunggu tanpa melakukan apa-apa.
KKM kini telah mengambil langkah menggantung sementara operasi FDS di Sarawak bagi membolehkan semakan menyeluruh terhadap mekanisme keselamatan dan operasi. KKM turut menyatakan penilaian akan meliputi kontrak, tadbir urus, keselamatan operasi, keperluan liputan dan keberkesanan
Pada akhirnya, isu ini juga berkaitan dengan ketelusan penggunaan wang awam. Jika kerajaan membelanjakan puluhan juta ringgit bagi mendapatkan perkhidmatan penerbangan perubatan, rakyat berhak mengetahui apakah spesifikasi perkhidmatan yang dibeli, berapa lama kontraknya, berapa kos operasi, apakah jenis pesawat yang digunakan dan bagaimana kerajaan memastikan pesawat tersebut sentiasa berada pada tahap keselamatan tertinggi.

Lebih penting, apabila kontrak diperbaharui, kerajaan perlu menjelaskan apakah penambahbaikan yang diperoleh rakyat berbanding kontrak sebelumnya.
Jangan sampai kontrak hanya diperbaharui kerana kontrak lama tamat.
Kontrak baharu mesti menjadi peluang untuk mendapatkan pesawat lebih baik, sistem keselamatan lebih baik dan perkhidmatan lebih berkesan.
Nahas Long Lellang seharusnya menjadi titik perubahan. FDS mesti diteruskan kerana masyarakat pedalaman Sarawak memerlukannya. Tetapi cara ia dilaksanakan perlu diteliti semula. Pada akhirnya, yang paling penting bukan berapa murah sebuah helikopter boleh disewa.
Yang paling penting ialah berapa tinggi tahap keselamatan yang kerajaan sanggup bayar untuk memastikan doktor, jururawat dan petugas kesihatan yang dihantar menyelamatkan nyawa orang lain dapat pulang dengan selamat.
Kerana dalam soal ini, setiap penerbangan membawa lebih daripada penumpang. Ia membawa nyawa manusia.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
