PETALING JAYA – Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menegaskan, laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung pengurusan Lembaga Tabung Haji (TH) tidak menemukan bukti pemimpin politik terdahulu menyeleweng atau “menyaku” wang institusi itu untuk kepentingan peribadi, namun perkara itu tidak bermakna mereka terlepas daripada tanggungjawab terhadap kelemahan tadbir urus yang didakwa telah menyebabkan kerugian besar kepada Tabung Haji.
Menurut beliau, masyarakat perlu menilai kandungan laporan RCI secara menyeluruh dan adil tanpa dipengaruhi naratif politik yang hanya menumpukan kepada satu aspek tertentu.
Katanya, laporan berkenaan jelas tidak menunjukkan berlakunya pemindahan dana berbilion ringgit ke akaun peribadi mana-mana pemimpin politik, namun pada masa sama turut memperincikan pelbagai kelemahan dalam aspek pengurusan, kawal selia serta keputusan pelaburan yang didakwa memberi kesan besar kepada kedudukan kewangan institusi tersebut.
“Laporan RCI ini tidak menunjukkan ada pemimpin politik yang ‘sakau’ atau memasukkan berbilion ringgit ke dalam akaun peribadi mereka. Dalam perkara itu, kita perlu berlaku adil.
“Tetapi pada masa sama, perkara ini sama sekali tidak boleh dijadikan alasan untuk membersihkan kepimpinan terdahulu daripada kelemahan dan kegagalan tadbir urus yang menyebabkan Tabung Haji mengalami kerugian berbilion ringgit,” katanya menerusi satu sesi ulasan yang disiarkan secara langsung di media sosial.
Menurut Syed Saddiq, fokus utama rakyat seharusnya bukan sekadar mencari individu yang didakwa mengambil wang secara haram, sebaliknya melihat kepada bagaimana kelemahan dalam sistem pentadbiran boleh membawa implikasi besar terhadap institusi yang menguruskan simpanan jutaan umat Islam di negara ini.
Beliau berkata, sekiranya kelemahan tersebut tidak diambil serius, ia berisiko berulang pada masa hadapan dan menjejaskan keyakinan pendeposit terhadap institusi berkenaan.
“Kita tidak boleh meraikan atau menganggap kesilapan lalu sebagai sesuatu yang biasa. Apa yang berlaku perlu dijadikan pengajaran supaya tadbir urus institusi awam sentiasa diperkukuhkan,” katanya.
Dalam pada itu, Syed Saddiq menggesa supaya audit forensik yang lebih terperinci dilaksanakan terhadap beberapa keputusan pelaburan utama yang dikenal pasti dalam laporan RCI sebagai antara faktor kemerosotan prestasi kewangan Tabung Haji.
Beliau berkata, siasatan lebih mendalam penting bagi mengenal pasti bagaimana keputusan pelaburan tersebut dibuat, sama ada semua prosedur tadbir urus dipatuhi serta sama ada wujud sebarang kecuaian atau pelanggaran proses dalam membuat keputusan.
Antara pelaburan yang menurut beliau wajar diberikan perhatian ialah melibatkan Felda Global Ventures (FGV) Berhad, Putrajaya Perdana Berhad, Al-Rawda Real Estate serta TH Indo Plantations, yang disenaraikan sebagai antara pelaburan berskala besar mengalami prestasi kurang memberangsangkan.
Menurutnya, audit forensik mampu membantu menjelaskan secara terperinci latar belakang setiap keputusan pelaburan, sekali gus meningkatkan tahap akauntabiliti dalam pengurusan dana awam.
Semalam, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menerbitkan laporan penuh Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) setebal 211 muka surat yang menyiasat aspek pengurusan dan operasi Tabung Haji bagi tempoh antara tahun 2014 hingga 2020.
RCI tersebut ditubuhkan pada tahun 2021 susulan kebimbangan terhadap kedudukan kewangan serta tadbir urus institusi berkenaan dan berjaya menyiapkan laporannya pada Julai 2022.
Selepas melalui proses penyahklasifikasian oleh kerajaan, laporan itu akhirnya didedahkan kepada umum bagi membolehkan rakyat meneliti sendiri dapatan serta syor yang dikemukakan oleh suruhanjaya berkenaan.
Antara dapatan utama terkandung dalam laporan tersebut ialah penemuan Tabung Haji berdepan tekanan kewangan yang serius pada tahun 2017.
Menurut laporan itu, institusi berkenaan didakwa menggunakan kaedah yang digambarkan sebagai “perakaunan kreatif” bagi membolehkan pembayaran hibah kepada pendeposit diteruskan walaupun kedudukan kewangan sebenar tidak menyokong pembayaran pada kadar tersebut.
RCI turut menyatakan, berdasarkan kedudukan kewangan sebenar ketika itu, Tabung Haji sepatutnya merekodkan kerugian sekitar RM1.4 bilion, berbanding keuntungan RM3.4 bilion yang dilaporkan.
Selain itu, laporan berkenaan turut menyentuh mengenai tindakan tatatertib terhadap lima pegawai kanan Tabung Haji yang kemudiannya diringankan, sekali gus menjadi antara perkara menarik perhatian pelbagai pihak selepas laporan tersebut didedahkan.
Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan dijadual mengadakan Sidang Khas Dewan Rakyat bagi membahaskan laporan RCI itu, yang dijangka memberi ruang kepada Ahli Parlimen daripada kerajaan dan pembangkang mengemukakan pandangan serta cadangan berhubung langkah susulan bagi memperkukuh tadbir urus dan memulihkan keyakinan terhadap institusi TH.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L
