KUALA LUMPUR: Syarikat pembinaan ruang bawah tanah dan asas, Aneka Jaringan Holdings Bhd (Aneka Jaringan) mencatatkan peningkatan hasil sebanyak 38.48 peratus kepada RM68.41 juta bagi suku ketiga berakhir 31 Mei 2026, disokong kemajuan berterusan projek pembinaan kumpulan.
Peningkatan itu berbanding RM49.40 juta yang direkodkan pada suku sama tahun sebelumnya, mencerminkan aktiviti operasi yang lebih kukuh serta keupayaan kumpulan melaksanakan projek yang sedang berjalan.
Bagaimanapun, peningkatan hasil itu belum diterjemahkan kepada keuntungan apabila kumpulan mencatatkan kerugian selepas cukai sebanyak RM1.66 juta pada suku berkenaan, berbanding keuntungan selepas cukai RM0.95 juta pada tempoh sama tahun lalu.
Aneka Jaringan berkata prestasi suku berkenaan terjejas oleh tekanan kos input selain peningkatan perbelanjaan pentadbiran dan kos kewangan bagi menyokong operasi serta aktiviti projek kumpulan.
“Keputusan suku tahunan mencerminkan kesan sementara tekanan kos input, di samping perbelanjaan pentadbiran dan kos kewangan yang ditanggung untuk menyokong operasi dan aktiviti projek Kumpulan yang berterusan,” katanya.
Tekanan kos bahan mentah dan bahan api menyebabkan margin projek terjejas dengan keuntungan kasar kumpulan bagi suku itu berjumlah RM3.32 juta.
Pengarah Urusan Aneka Jaringan, Pang Tse Fui berkata mengurangkan kesan cabaran berkenaan, kumpulan terus memperketat kawalan kos serta melaksanakan langkah operasi bagi meningkatkan kecekapan di seluruh portfolio projeknya.
“Dari segi hala tuju perniagaan, Aneka Jaringan berkata pihaknya akan mengekalkan pendekatan berdisiplin dalam pelaksanaan projek serta lebih selektif dalam mendapatkan kontrak baharu yang menawarkan terma komersial lebih baik,” katanya.
Bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun kewangan 2026, hasil kumpulan meningkat 15.94 peratus kepada RM227.05 juta.
Dalam tempoh itu, Aneka Jaringan kekal mencatat keuntungan selepas cukai sebanyak RM0.37 juta, manakala keuntungan kasar direkodkan pada RM13.83 juta walaupun berdepan persekitaran kos mencabar.
Kedudukan operasi kumpulan turut disokong oleh kejayaan memperoleh kontrak baharu bernilai RM224.34 juta setakat ini, dengan buku pesanan tertunggak berjumlah RM190.45 juta yang memberikan keterlihatan pendapatan berterusan.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L