WASHINGTON – Cadangan Datuk Bandar New York, Zohran Mamdani untuk menangkap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, sekiranya menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York pada September ini mengundang reaksi tegas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
Trump menolak pendirian Mamdani sambil menegaskan, Netanyahu tidak akan ditahan ketika berada di AS, malah menyifatkan pemimpin Israel berkenaan sebagai sekutu rapat Washington yang telah membantu negara itu dalam konflik dengan Iran.
Dalam satu hantaran di media sosial pada Isnin, Trump berkata, Netanyahu “tidak akan ditangkap dalam apa jua keadaan” ketika berada di AS.
Kenyataan itu dibuat susulan pendirian Mamdani yang sebelum ini menyatakan pentadbirannya sedang meneliti kemungkinan mengambil tindakan terhadap Netanyahu sekiranya beliau menghadiri Perhimpunan Agung PBB di New York.
Dalam wawancara yang diterbitkan pada Sabtu, Mamdani berkata, beliau percaya Netanyahu sepatutnya dihadapkan ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) di The Hague.
“Beliau ialah seorang penjenayah perang yang telah didakwa oleh ICC,” katanya sambil menambah ramai pihak berkongsi pandangan sama berhubung tindakan Netanyahu sepanjang beberapa tahun kebelakangan ini.
Pada 2024, ICC mengeluarkan waran tangkap terhadap Netanyahu atas dakwaan melakukan jenayah perang berkaitan konflik di Gaza.
Bagaimanapun, Mamdani mengakui belum pasti sama ada beliau mempunyai bidang kuasa undang-undang untuk mengarahkan Jabatan Polis New York menahan seorang ketua kerajaan asing.
Beliau berkata, perkara itu sedang dibincangkan secara aktif dengan Jabatan Undang-Undang bandar raya berkenaan bagi menentukan tindakan yang boleh diambil mengikut peruntukan undang-undang.
“Apa sahaja yang dibenarkan oleh undang-undang di New York City, itulah yang akan kami lakukan. Namun kami tidak akan menggubal undang-undang baharu semata-mata untuk tujuan itu,” katanya.
Semasa kempen pilihan raya datuk bandar sebelum ini, Mamdani pernah menyatakan beliau akan mengarahkan polis menahan Netanyahu sekiranya pemimpin Israel itu memasuki New York dengan merujuk kepada pelaksanaan waran tangkap ICC.
Netanyahu lazimnya menghadiri Perhimpunan Agung PBB yang berlangsung di New York setiap September.
Sementara itu, Israel menolak kenyataan Mamdani dan menyifatkan ICC sebagai sebuah “mahkamah palsu”, selain mendakwa waran tangkap yang dikeluarkan terhadap Netanyahu tidak berasas.
ICC yang ditubuhkan pada 2002 untuk mengendalikan kes pembunuhan beramai-ramai, jenayah terhadap kemanusiaan dan jenayah perang mempunyai bidang kuasa yang tidak diiktiraf oleh Israel. AS juga bukan negara anggota mahkamah itu.
Pentadbiran Trump turut mengambil beberapa langkah bagi mengehadkan peranan ICC, termasuk mengenakan sekatan terhadap hakim, pendakwa raya dan pertubuhan yang terlibat dalam usaha mendapatkan keputusan mahkamah berkaitan dakwaan pelanggaran hak asasi manusia oleh Israel.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L