Rafizi Pertahan Keputusan BERSAMA Bertanding di Puteri Wangsa

Oleh Fatin Sajidah Fathuldin

JOHOR BAHRU – Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli menyeru pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa agar membuat pilihan berdasarkan calon yang diyakini mampu membawa suara rakyat, sambil mengajak orang ramai menghadiri Ceramah Finale BERSAMA pada malam terakhir kempen.

Menerusi hantaran di X milik Rafizi Ramli selepas mengadakan program walkabout bersama calon BERSAMA bagi DUN Puteri Wangsa, Nicholas Paul Vincent, Rafizi berkata kerusi berkenaan menjadi antara tumpuan utama Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini kerana menampilkan persaingan melibatkan calon daripada pelbagai latar belakang termasuk bekas menteri Kabinet.

Menurut beliau, keputusan BERSAMA bertanding di Puteri Wangsa sebelum ini dianggap berisiko oleh sesetengah pihak.

“Mungkin mereka betul. Tetapi jika semua pihak hanya memilih kerusi yang dianggap selamat, siapa yang akan memastikan pengundi di kawasan seperti Puteri Wangsa mempunyai pilihan sebenar?” katanya.

Beliau berkata, pilihan raya bukan mengenai siapa yang paling terkenal atau paling lama berada dalam politik, sebaliknya memberi ruang kepada rakyat memilih wakil yang benar-benar mampu membawa suara mereka.

Rafizi turut memuji komitmen Nicholas yang disifatkan bekerja tanpa mengenal penat sejak hari pertama berkempen dengan turun padang dari pagi hingga malam.

Menurut beliau, sepanjang sesi walkabout di kawasan pasar raya di Puteri Wangsa, beliau dan Nicholas berpeluang bertemu penduduk yang bertanyakan perkembangan kempen, perjuangan BERSAMA serta berkongsi pandangan mengenai isu-isu setempat.

“Perbualan seperti ini mengingatkan kita bahawa di sebalik segala analisis dan ramalan politik, akhirnya pengundilah yang akan menentukan masa depan sesebuah kerusi,” katanya.

Dalam hantaran berasingan, Rafizi turut mengajak rakyat Johor menghadiri Ceramah Finale BERSAMA yang akan berlangsung pada Jumaat, 10 Julai, pukul 8 malam di Paragon Market Place, Jalan Tampoi, sebagai penutup rasmi kempen pilihan raya.

Beliau berkata, sepanjang dua minggu berkempen, BERSAMA telah menjelajah kesemua 15 kerusi DUN yang ditandingi menggunakan trak Perodua Kancil bagi bertemu rakyat, mendengar sendiri permasalahan mereka dan berkongsi penyelesaian yang ingin dibawa.

Menurutnya, kesemua 15 calon BERSAMA akan berhimpun di atas satu pentas untuk menyampaikan mesej terakhir kepada rakyat Johor sebelum hari mengundi, selain beliau sendiri akan berucap bersama Nik Nazmi Nik Ahmad.

Beliau berkata, ceramah penutup itu turut diadakan di lokasi sama yang digunakan untuk memperkenalkan calon-calon BERSAMA pada hari pertama kempen sebagai simbolik berakhirnya perjalanan kempen sebelum keputusan diserahkan kepada rakyat.

Rafizi berkata, BERSAMA mahu membawa budaya politik baharu yang tidak lagi tertumpu kepada perebutan kuasa, jawatan dan pembahagian kerusi, sebaliknya memberi fokus kepada penyelesaian isu rakyat seperti kos sara hidup, peluang pekerjaan, pendidikan, perumahan, pengangkutan dan masa depan keluarga.

Fatin Sajidah Fathuldin adalah pelajar Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian dari USIM yang sedang menjalani Latihan Industri di Nasional Daily

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *