Oleh Fatin Sajidah Fathuldin
KUALA LUMPUR – Pendigitalan perkhidmatan kesihatan menerusi pelaksanaan Cloud-Based Clinic Management System (CCMS) di klinik kesihatan kerajaan berjaya mempercepatkan urusan rawatan pesakit, apabila 81 peratus daripada mereka kini dapat berjumpa pegawai perubatan dalam tempoh kurang daripada sejam.
Timbalan Menteri Kesihatan, Hanifah Hajar Taib berkata, sebelum CCMS diperkenalkan, pesakit di sesetengah klinik kesihatan terpaksa menunggu hingga tiga jam untuk mendapatkan rawatan bergantung kepada jumlah kehadiran pesakit serta beban kerja di fasiliti berkenaan.
Beliau berkata, data pemantauan terkini menunjukkan baki 19 peratus pesakit menerima rawatan dalam tempoh antara 60 hingga 90 minit, bergantung pada tahap kes serta beban kerja di klinik.
“Dapatan ini menunjukkan pendigitalan proses kerja melalui CCMS telah membantu mempercepatkan aliran perkhidmatan, mengurangkan kesesakan serta meningkatkan pengalaman pesakit di klinik kesihatan,” katanya pada sesi pertanyaan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Temerloh, Salamiah Mohd Nor mengenai keberkesanan pelaksanaan rekod perubatan elektronik (EMR) dan sistem pendigitalan kesihatan dalam meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan di fasiliti kesihatan kerajaan.
Menurut Hanifah, selain CCMS, Kementerian Kesihatan turut memperkukuh agenda pendigitalan melalui pelaksanaan Electronic Medical Record (EMR), Dental Information System (DIS) di klinik pergigian serta Total Hospital Information System (THIS) di hospital.
Beliau berkata, aplikasi MySejahtera kini menyediakan kemudahan tempahan janji temu bagi 18 jenis perkhidmatan kesihatan di klinik kesihatan dan klinik pergigian, dengan sebanyak 29 juta transaksi janji temu telah direkodkan setakat ini.
“Perkhidmatan ini akan diperluaskan ke klinik pakar hospital dalam masa terdekat.
“Sehingga kini, MySejahtera turut mengintegrasikan rekod kesihatan membabitkan 30 juta individu dengan rekod vaksinasi, 12 juta rekod preskripsi ubat, lima juta rekod pergigian, lima juta rekod saringan kesihatan dan satu juta rekod lawatan klinik,” ujarnya.
Beliau berkata, Kementerian Kesihatan akan meneruskan pelaksanaan THIS secara berfasa di 20 hospital dalam tempoh 12 bulan akan datang, meliputi sistem makmal, pengimejan, bank darah dan farmasi sebagai usaha memperluaskan pendigitalan perkhidmatan kesihatan negara.
Fatin Sajidah Fathuldin adalah pelajar Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian dari USIM yang sedang menjalani Latihan Industri di Nasional Daily
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L