Oleh Fatin Sajidah Fathuldin
YONG PENG – Presiden MCA, Wee Ka Siong mendakwa kerajaan telah memungkiri janji apabila tempoh pengecualian cukai kepada Yayasan Pendidikan Tunku Abdul Rahman dikurangkan daripada 10 tahun kepada hanya tiga tahun.
Beliau berkata laporan media mengenai pengurangan tempoh pengecualian cukai itu adalah benar dan bercanggah dengan pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, ketika melawat Tunku Abdul Rahman University of Management and Technology pada Februari lalu.
“Ramai yang akan ingat bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah melawat Universiti Pengurusan dan Teknologi Tunku Abdul Rahman (TAR UMT) pada Februari tahun ini, di mana beliau secara terbuka mengumumkan pengecualian cukai selama 10 tahun untuk yayasan pendidikan.
“Apa yang tidak pernah kami jangkakan ialah, pada bulan Jun baru-baru ini, Kementerian Kewangan mengeluarkan surat rasmi bagi mengurangkan tempoh pengecualian kepada hanya tiga tahun, langsung tidak selari dengan apa yang dijanjikan – 10 tahun,” katanya ketika berucap pada program Perhimpunan Rakyat Maju Johor di Yong Peng,
Wee berkata keputusan itu boleh memberi kesan kepada usaha yayasan membantu pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan mendapatkan pendidikan tinggi berkualiti dengan yuran yang berpatutan.
“Saya akan terus merayu kepada Perdana Menteri dan Kementerian Kewangan supaya tempoh pengecualian cukai selama 10 tahun dikembalikan.
“Pendidikan harus diasingkan daripada politik. Kerajaan MADANI yang diketuai oleh Pakatan Harapan tidak boleh menyalahgunakan kuasanya dengan menjejaskan peluang pendidikan untuk generasi muda kita.” tegasnya.
Beliau turut mendakwa kerajaan tidak seharusnya menggunakan kuasa sehingga menjejaskan peluang pendidikan generasi muda.
Dalam ucapannya, Wee turut menggesa pengundi Yong Peng mengekalkan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Yong Peng, Ling Tian Soon, yang mewakili Barisan Nasional (BN).
“Ling Tian Soon telah berkhidmat dengan penuh komitmen kepada masyarakat Yong Peng. Saya merayu kepada pengundi supaya sekali lagi memberikan mandat kepadanya agar pembangunan Yong Peng dapat diteruskan,” katanya.
Fatin Sajidah Fathuldin adalah pelajar Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian dari USIM yang sedang menjalani Latihan Industri di Nasional Daily
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L